Friday, April 25, 2008

Mendidik jiwa supaya sentiasa reda

Oleh Siti Aishah Mahamad

FIRMAN Allah yang bermaksud: “Allah maha berkuasa atas segala sesuatu, Dialah yang mentakdirkan adanya kematian dan kehidupan untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya.” - (Surah al-Mulk, ayat 1-2) .

Menyingkap maksud firman Allah itu, manusia sentiasa akan diuji dengan kebaikan dan kesulitan. Segala perkara atau peristiwa berlaku dengan izin dan kehendak Allah. Bagi Allah segala-galanya adalah kebaikan untuk hambanya. Penerimaan manusia boleh jadi berbeza sama ada perkara itu baik atau buruk kecuali orang mukmin yang memiliki keimanan sebenar. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Allah sungguh kagum kepada orang mukmin, apabila menerima nikmat ia bersyukur dan apabila ditimpa musibah ia bersabar.” - (Maksud al-Hadis)


Setiap detik kehidupan kita perlu meyakini bahawa kita berada dalam ujian Allah sehingga roh bercerai daripada badan. Firman Allah yang bermaksud: “Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja mengatakan kami sudah beriman sedangkan mereka tidak diuji terlebih dulu. Dan sesungguhnya kami sudah menguji orang sebelum kamu maka sesungguhnya Allah maha mengetahui orang yang benar dan orang yang dusta,” - (Surah al-Ankabut, ayat 2-3) Manusia diberi kemampuan mengamati atau menilai sesuatu perkara dan peristiwa secara zahir melalui deria penglihatan. Manusia juga dapat mengguna akal untuk mentafsir perkara atau peristiwa yang dilihat.


Manusia yang lebih tinggi martabatnya ialah apabila dapat melihat melalui mata hati. Ini adalah penglihatan atau gambaran cahaya iman. Allah berfirman yang bermaksud: “Maka ambillah pelajaran wahai orang yang memiliki mata hati.” - (Surah al-Haysr, ayat 2) Sering kali kita terdengar rungutan apabila hari hujan kerana hujan yang turun menyusahkan untuk ke pejabat atau ke mana saja sedangkan bagi tukang kebun atau petani, hujan adalah rahmat Allah yang akan menyuburkan pokok serta tanaman mereka. Begitulah kepelbagaian ragam dan persepsi dalam kehidupan. Segala penentuan Allah diterima dengan persepsi berbeza antara satu sama lain. Perbezaan sudut pandang ini bergantung kepada beberapa perkara seperti ilmu, keimanan, amalan dan ketakwaan seseorang. Orang beriman sentiasa reda dan menerima segala ketentuan dengan hati tenang kerana mereka berfikir secara positif, mencari hikmah di sebalik setiap peristiwa.


Setiap insan sentiasa mengharapkan kedamaian dan ketenangan hidup, bahkan manusia menginginkan kesenangan itu berpanjangan. Realiti kehidupan tidak selalu begitu kerana langit tidak selalunya cerah. Panduan berikut boleh dijadikan pedoman untuk mendidik diri menerima sesuatu peristiwa baik atau buruk dengan penuh keredaan. Dengannya kita akan berasa tenang dalam menerima sesuatu dengan rela hati. l Bersyukur kepada Allah dan membilang nikmatnya Kita beriman bahawa Allah tetap memberi nikmat di dunia kepada semua hamba-Nya. Apabila kita mendapat nikmatnya kita bersyukur dan mengiktiraf nikmat itu supaya tidak lupa jasa Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Allah sudah menyempurnakan nikmat-Nya kepada kalian baik yang zahir mahupun yang batin.” - (Surah Luqman, ayat 20) Allah berfirman yang bermaksud: “Dan jika kalian menghitung nikmat Allah nescaya kalian tidak akan dapat menghitungnya.” - (Surah Ibrahim, ayat 34) Nabi Sulaiman yang dikurniakan kerajaan dan kekayaan berkata: “Ini termasuk dalam kurnia Tuhanmu untuk menguji aku adakah aku bersyukur atau kufur nikmat.” - (Surah an-Namlu, ayat 20) .

Syukur bukan setakat mengucapkannya tetapi kita perlu zahirkan kelakuan orang yang bersyukur dalam bentuk perbuatan. Contohnya, apabila seseorang itu mendapat keuntungan daripada perniagaan diusahakannya, dia akan dibelanjakan ke jalan halal dengan ikhlas.

l Musibah menghapuskan dosa

Kita menerima musibah dengan positif untuk menyedarkan kita supaya menilai kembali tingkah laku. Sebagai manusia, kita tidak sunyi daripada melakukan dosa. Musibah dapat melenyapkan dosa yang dilakukan . Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah seseorang mukmin itu ditimpa kecemasan, kegelisahan, rasa sakit dan keletihan hingga tertusuk duri melainkan dengan semua itu Allah akan menghapuskan dosanya.” - (Maksud al-Hadis)

l Bersabar tanda kemenangan Allah mendidik kita supaya menerima sesuatu dengan reda dan sabar kerana Allah bersama dengan orang yang sabar. Orang yang bersabar akan mendapat kemenangan di dunia dan syurga di akhirat. Firman Allah yang bermaksud: “Dan supaya kamu jangan terlalu berduka cita terhadap apa yang hilang daripada kamu dan janganlah kamu terlalu gembira apabila mendapat sesuatu nikmat.” - (Surah al-Hadid, ayat 23)

l Berdoa dan memohon pertolongan hanya kepada Allah Doa adalah senjata orang mukmin. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh, yakin dan kenalilah Allah ketika senang nescaya Allah akan mengenali kita ketika susah. Berdoa dengan khusyuk dan jadikan berdoa para nabi sebagai panduan. Bayangkan bagaimana pasrah dan khusyuk nabi berdoa dalam keadaan genting. Kita juga tahu Allah memakbulkan doa mereka. Nabi Ibrahim berdoa memohon pertolongan Allah ketika dibakar dalam unggun api yang marak menyala, Nabi Muhammad ketika perang Badar dan Nabi Musa yang cemas ketika di kepung Firaun di Laut Merah dan saat kegelapan Nabi Yunus dalam perut ikan.

l Membaca al-Quran Al-Quran adalah kitab rujukan utama kepada setiap mukmin yang cemerlang. Kitab ini perlu dibaca dan fahami maksudnya setiap hari dengan tujuan melembutkan hati serta mendidik jiwa supaya istiqamah dalam amalan yang baik. Allah sentiasa mengingatkan supaya mengambil pendekatan sederhana kerana keluh kesah akan menambah lagi musibah. Apabila menerima sesuatu musibah, kita zahirkan rasa syukur dengan membandingkan musibah lebih besar atau membandingkan musibah dihadapi orang lain. Mengambil pelajaran dan melihat sesuatu hikmah dalam setiap perkara akan melahirkan insan yang celik perasaan serta mampu mengharungi hidup yang penuh pancaroba.

Penulis ialah Guru Besar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Isap Kuantan Pahang dan Ketua Wanita JIM Pahang, boleh dihubungi di e-mel: wanitajim0@yahoo.com

Friday, April 18, 2008

Sopan santun, iman tak dapat dipisah

MEMELIHARA KEHARMONIAN: Islam menganjurkan penganutnya berbuat baik sesama insan khususnya dalam masyarakat majmuk di negara ini. - Gambar hiasan.


Oleh Zarina Azhari


wanitajim0@yahoo.com


Orang mukmin disuruh menahan hati, semai ketakwaan dalam berbicara

MEMELIHARA keharmonian pergaulan dan berinteraksi sesama insan terutama dalam masyarakat majmuk perlukan formula efektif. Formula efektif ini atau landasan yang boleh dijadikan panduan dalam proses mengembalikan kekeruhan ialah al-Quran. Formula itu ada dalam al-Quran antaranya Surah al-Hujurat yang biasa kita baca. Banyak ayat dalam surah itu menyentuh adat sopan santun dan etika pergaulan orang terhormat.

Dinamakan al-Hujurat yang bermaksud bilik-bilik, sebab diturunkan ketika ada di kalangan sahabat memanggil Nabi Muhammad SAW yang sedang berehat di bilik isterinya. Mereka memanggil dengan cara kurang sopan dan keadaan demikian menunjukkan sifat kurang hormat serta mengganggu ketenteraman Baginda.
Surah ini mencela sahabat berkenaan sekali gus mengajar cara yang sebenarnya. Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang memanggil kamu dari luar bilikmu kebanyakan mereka tidak mengerti." – (Surah al-Hujurat, ayat 4) Surah al-Hujurat mengandungi 18 ayat mendidik supaya hormat dan sopan santun terhadap Rasulullah SAW ketika hidup dan sesudah wafatnya. Perihal sopan santun bukan setakat kepada Rasulullah SAW, malah sesama Muslim dan bukan Muslim.

Cantiknya ayat ini menerangkan hikmah Allah menciptakan manusia berbangsa dan bersuku supaya saling kenal mengenal. Taraf setiap insan ciptaan-Nya adalah sama saja dan yang membezakan ialah ketakwaan kepada Allah. Justeru jangan terpesona dengan urusan bangsa dan suku kaum kerana ini akan menimbulkan permusuhan serta persengketaan.
Seruan "wahai orang yang beriman" dimulakan berulang kali, menjadi bukti yang harus direnungkan bahawa antara iman dengan sopan santun dalam pergaulan tidak dapat dipisahkan, ibarat irama dan lagu. Orang yang mengaku beriman kepada Allah dan Rasul, tidak akan tergamak mendahulukan fikiran serta pendapatnya sendiri dalam hal berkenaan hukum hakam agama sebelum terlebih dulu menilik, memandang dan memperhatikan firman Allah dan sabda Rasul.

Begitulah sifat orang beriman dan bertakwa yang sangat berhati-hati dalam segala gerak langkah, sehingga fatwa yang dikeluarkan dapat dipertanggungjawabkan di hadapan Allah. Orang mukmin dilarang bersuara keras apabila berbicara sesama sendiri di hadapan Rasulullah SAW, apatah lagi apabila berbicara dengan Baginda. Bertengkar dengan suara keras di hadapan kuburan Nabi SAW juga tidak wajar.
Apabila seseorang ingin berbicara sedangkan perkara itu tidak penting, maka ketika itu datang ujian kepada diri sendiri, supaya menahan hati dan menumbuhkan rasa ketakwaan dalam berbicara. Bagi mereka yang berhati-hati dalam berbicara adalah ampunan dan pahala yang besar. Orang yang tidak beradab ketika berbicara juga dikatakan sebagai orang tidak menggunakan akal. Namun kesalahan yang dilakukan pada masa lalu dalam keadaan jahil akan diampuni kerana Allah Maha Pengampun.
Bagi orang yang beriman, jika datang kepada mereka orang fasik (pembohong) membawa berita, maka selidik dulu kebenarannya, bimbang cerita bohong itu nanti akan menimpakan musibah kepada sesuatu kaum atau insan. Janganlah berita itu terus diiyakan atau ditidakkan, janganlah terburu-buru menjatuhkan keputusan sehingga orang terbabit mendapat hukuman, padahal ternyata kemudian tidak ada kebenaran mengenainya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Menyelidiki dengan tenang adalah daripada Allah dan tergopoh-gapah adalah daripada syaitan." Namun masih ada yang jujur dan mencintai iman, yang bertanggungjawab menyampaikan kebenaran. Mereka itulah orang yang bijak, memikirkan manfaat dan mudarat sesuatu hal sebelum dikerjakan. Orang beriman yang bijak inilah yang diperlukan dan membawa kebahagiaan bersamanya kerana berpandangan jauh serta mempunyai kefahaman luas.
Jika ada dua golongan yang sama-sama beriman tetapi timbul salah faham sehingga tercetus perkelahian, seterusnya peperangan, maka hendaklah ada orang beriman lain segera mendamaikan antara keduanya. Dengan mengetahui sebabnya hendaklah disuruh berdamai. Golongan yang tidak mahu berdamai itu disebut orang yang menganiaya, hendaklah diperangi sehingga tunduk dan patuh kepada kebenaran.
Keduanya, diadili dengan adil dan saksama serta dijatuhkan hukuman setimpal. Orang yang berlaku adil di dunia akan duduk diatas mimbar daripada mutiara di hadapan Tuhan yang bersifat Rahman kerana keadilan mereka di dunia. Orang beriman perlu berkasih sayang sesama mereka dan bersikap keras terhadap orang kafir. Perkelahian yang timbul adalah akibat salah faham dan salah terima.
Seterusnya surah al-Hujurat memberi peringatan halus dan tepat dari Allah supaya tidak mengejek dan menghina. Perbuatan itu sering dilakukan mereka yang merasakan dirinya sempurna, tidak punya kekurangan, kealpaan dan kesalahan. Bahkan peringatan itu turut ditujukan kepada wanita yang mencela, menggelar dan memanggil dengan panggilan buruk kepada orang lain, padahal perbuatan itu sama seperti mencela diri sendiri. Sebaiknya nama buruk diganti dengan panggilan baik kerana nama itu ada pengaruhnya bagi jiwa. Begitu juga perangai buruk sangka yang mengundang perpecahan dan memutuskan silaturahim antara orang beriman. Kita perlu bersegera menghentikan, bertaubat dan menyesali perbuatan itu.
Surah ini memberi keterangan mengenai nilai iman iaitu seseorang yang didatangkan penderitaan ke atas dirinya baik daripada segi harta benda, tenaga dan sebagainya. Mereka mengharunginya dengan reda dan pasrah tanpa ragu-ragu terhadap Allah. Mereka itulah orang yang jujur dan layak mengaku orang beriman. Pengetahuan manusia amat terbatas. Janganlah merasa diri penting serta bangga sebaliknya bersyukur dan meneguhkan iman dengan jujur.
Surah al-Hujurat memberi peringatan dan mendidik manusia supaya ikhlas beramal serta menginsafi bahawa Allah mengetahui apa yang dizahirkan dan disembunyikan untuk menguatkan iman, meyakinkan hati dengan takwa.
Penulis adalah Ketua Wanita JIM Daerah Ampang Jaya dan boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

Saturday, April 12, 2008

Mencari keberkatan pengajian tinggi

Oleh Sumilah Marto

Ibu bapa perlu bimbing anak buat keputusan tepat corak masa depan cemerlangMEMILIH kursus atau bidang pengajian tidak semudah memilih barang yang ingin dibeli di kedai. Ia adalah keputusan penting dalam kehidupan seseorang dan perlu dilakukan dengan teliti. Jika kesilapan berlaku, mungkin akan menimbulkan penyesalan berpanjangan. Persoalannya, mampukah remaja lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membuat pilihan yang tepat dalam mencorakkan masa depan hanya berbekalkan sekelumit pengalaman dikutip di sekolah?

Atau sejauh manakah ibu bapa dapat memastikan anak tidak terkandas di tengah jalan serta menyalahkan ibu bapa kerana tidak memahami kehendak mereka sedangkan ada yang berjaya mendapat segulung ijazah perubatan semata-mata memenuhi kehendak ibu bapa, tetapi akhirnya melakukan sesuatu yang lain untuk kepuasan sendiri. Justeru, dalam menghadapi kemelut seperti itu, jalan tengah mestilah diambil. Urusan berkaitan pemilihan kursus seharusnya dilihat menerusi pelbagai aspek dan bukannya bergantung pada satu pihak saja. Sewajarnya pemilihan dilakukan berdasarkan kepada kombinasi perbincangan kedua-dua pihak sehingga masing-masing memperoleh titik pertemuan dan kata sepakat yang berkat. Perkara utama menjadi tanggungjawab ibu bapa adalah membimbing dan memastikan apa juga kursus yang dipilih akan membawa anak sentiasa dekat kepada Penciptanya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih berganti malam dan siang ada tanda bagi orang yang berakal." (Surah Ali-Imran, ayat 190) Ayat itu memberikan tafsiran bahawa untuk mengenal Allah dan mengagungkan-Nya adalah dengan cara memikirkan setiap makhluk-Nya, merenungkan keajaiban dan memahami hikmah terkandung dalam segenap ciptaan-Nya. Ia tidak bererti mengabaikan atau menolak sama sekali habuan di dunia kerana Allah mengarahkan kita supaya memanfaatkan umur sebaiknya serta tidak menghabiskan peluang hanya dengan menikmati habuan dunia yang bersifat sementara. Sebaliknya ia menyarankan supaya pada masa sama menggandakan peluang untuk mendapat perolehan akhirat yang lebih lumayan.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan carilah pada apa yang dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) seperti Allah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan." (Surah al-Qasas, ayat 77) Di samping itu, perkara berikut boleh dijadikan panduan umum untuk ibu bapa membimbing anak memilih kursus yang bersesuaian.

Menyesuaikan cita-cita, minat dan bakat Bagi anak yang memiliki cita-cita tertentu, pilihlah kursus yang bersesuaian untuk mencapai cita-cita berkenaan. Contohnya, jika sejak kecil anak menunjukkan minat berniaga, mempunyai bakat yang dibuktikan menerusi aktiviti di sekolah kursus yang sesuai ialah ekonomi atau pengurusan perniagaan. Seterusnya galakkan mereka menjadi peniaga berjaya selepas tamat pengajian.

Maklumat yang tepat dan terkini Carilah maklumat yang tepat sebagai bahan pertimbangan untuk memilih kursus. Rujuk kepada mereka yang berpengalaman dalam bidang ingin diceburi atau dapatkan maklumat daripada pelbagai media termasuk internet. Jangan biarkan peluang anak terlepas begitu saja disebabkan kegagalan mendapatkan maklumat mengenai kursus bersesuaian kelayakan mereka.

Lokasi dan kewangan Bagi ibu bapa yang mempunyai pendapatan lumayan, tidak menjadi masalah menghantar anak ke mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) tanpa mengira lokasi dan faktor kewangan. Begitu juga bagi mereka yang mendapat tajaan pihak tertentu. Sebaliknya bagi kurang berkemampuan serta tidak berpeluang mendapatkan penaja, lokasi IPT adalah faktor perlu diambil kira untuk menjimatkan kos. Dalam keadaan seperti itu, pilihlah lokasi IPT berdekatan dengan tempat tinggal atau lokasi luar bandar yang memiliki kos sara hidup agak rendah. Pilihlah juga tempat kursus yang menawarkan yuran berpatutan. Namun, jika tiada pilihan seperti dinyatakan, elakkan wang sebagai faktor yang menghambat masa depan anak. Mungkin usaha lain perlu dilakukan misalnya membuat pinjaman kewangan mengikut kadar kemampuan untuk membayar balik.

Peluang mendapat tempat Jika anak mempunyai kelulusan cemerlang dalam SPM atau STPM, peluang mendapatkan kursus diminati amat cerah. Sebaliknya anak memperoleh pencapaian sederhana, peluang agak terhad kerana persaingan tinggi. Dalam keadaan seperti itu, bimbinglah dan nasihat anak supaya tidak terikat dengan satu pilihan bidang dan tempat kurus saja sebaliknya menyenaraikan beberapa pilihan alternatif. Lebih baik jika dapat menyenaraikan kursus dan tempat kursus yang layak dimohon mengikut kelulusan anak berdasarkan iklan diwartakan menerusi media dari semasa ke semasa.

Kerjaya masa depan Sebahagian besar ibu bapa dan anak mengharapkan peluang kerjaya yang cerah sebaik saja anak menamatkan kursus atau pengajian terutama bagi anak yang diamanahkan untuk membela nasib keluarga. Jika demikian keadaannya, sudah tentu kursus yang mampu menawarkan peluang pekerjaan bakal menjadi pilihan. Ia menuntut ibu bapa membuat sedikit tugasan mengkaji apakah peluang pekerjaan yang ada di pasaran dalam tempoh lima tahun dari sekarang.

Namun, ada kalanya sesuatu keputusan itu tidak dapat memuaskan sesuatu pihak walaupun perbincangan dilakukan. Apa yang pasti, ibu bapa sentiasa mengharapkan kejayaan anak dalam setiap langkah diambil. Selepas berusaha, bersyukur dengan apa juga kursus yang diperoleh dan yakin dengan janji Allah seperti firman-Nya yang bermaksud: "Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 216) Firman Allah yang bermaksud: "Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Surah Ibrahim, ayat 14) .

INFO Panduan memilih kursus atau bidang pengajian di IPT
Menyesuaikan cita-cita, minat dan bakat - Pilih kursus yang bersesuaian untuk mencapai cita-cita berkenaan.
Maklumat yang tepat dan terkini - Cari maklumat yang tepat sebagai bahan pertimbangan untuk memilih kursus.
Lokasi dan kewangan - Pilih lokasi IPT berdekatan dengan tempat tinggal atau lokasi luar bandar yang memiliki kos sara hidup rendah. Pilih juga tempat kursus yang menawarkan yuran berpatutan.
Peluang mendapat tempat - Bimbinglah dan nasihat anak supaya tidak terikat dengan satu pilihan bidang dan tempat kurus. Senarai beberapa pilihan alternatif.
Kerjaya masa depan - kaji peluang pekerjaan yang ada di pasaran dalam tempoh lima tahun dari sekarang. Penulis adalah pensyarah Institut Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru dengan kerjasama Wanita JIM, wanitajim0@yahoo.com

Friday, April 04, 2008

Jendela Hikmah: Tiga prinsip damaikan perbalahan

JALIN PERSAUDARAAN: Rundingan damai jalan penyelesaian kepada perselisihan dan mencapai kesefahaman golongan bermusuhan. - Gambar hiasan

Oleh Endok Sempo Tahir




mailto:wanitajim0@yahoo.com



Islam utamakan konsep persaudaraan untuk bentuk kekuatan ummah 'BIDUK berlalu kiambang bertaut'. 'Buang yang keruh ambil yang jernih'. Demikianlah pepatah Melayu yang melambangkan kehalusan budi untuk memelihara hubungan persaudaraan serumpun bangsa. Biasanya suasana politik orang Melayu dan Islam akan tegang setiap kali pilihan raya diadakan terutama sebelum pilihan raya. Namun, sebaik saja pilihan raya selesai, kita teruskan kehidupan seperti sedia kala dan menerima realiti seadanya. Kita teruskan usaha membina martabat umat dan membaiki kehidupan kepada yang lebih baik.

Persahabatan, persaudaraan dan persefahaman terus kekal untuk membina tamadun. Pembinaan tamadun umat yang gemilang adalah agenda utama kita. Janganlah perkara remeh temeh menjadi halangan agenda besar ini. Firman Allah yang bermaksud: "Dan jika dua puak daripada orang yang beriman berperang, maka damaikan antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawan puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adil kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil." (Surah al-Hujurat, ayat 9) .

Ayat itu turun kerana terjadinya perbalahan dua orang sahabat yang menyebabkan pergaduhan. Walhal puncanya kecil saja.

Diriwayatkan oleh Anas, satu ketika Rasulullah SAW dijemput melawat Abdullah bin Ubay, Baginda menaiki untanya dan diikuti sekumpulan sahabat sambil berjalan. Apabila Rasulullah SAW menghampiri Abdullah bin Ubay beliau berada betul-betul di hadapan rombongan Rasulullah SAW sambil mencemuh: 'Jauhkan dirimu, demi Allah, bau untamu menyakitkan hidungku`. Lalu salah seorang sahabat daripada golongan Ansar menjawab: 'Demi Allah, bau unta Rasulullah SAW adalah lebih harum daripada baumu'.

Maka pergaduhan tercetus dan turunlah ayat: "Dan jika dua puak daripada orang yang beriman berperang, maka damailah di antara keduanya." (Hadis riwayat Muslim dan Imam Ahmad) Prinsip mendamaikan dua golongan Muslim yang bergaduh atau berperang berlandaskan kepada tiga langkah:

l Pertama, kedua-dua pihak yang berperang mesti menghentikan kekerasan ke atas satu sama lain. Siapa yang memulakan kekerasan tidak penting, apa yang penting perdamaian dan persefahaman harus segera dicapai.

l Langkah kedua, jika satu pihak berkeras untuk berperang dan tidak mahukan penyelesaian, maka pihak yang mahukan damai hendaklah disokong supaya pihak yang degil dapat ditundukkan kepada undang-undang dan ketetapan Allah (berdamai).
Keutamaan menghentikan kekerasan sesama Muslim adalah daripada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Bantulah saudaramu sama ada yang zalim atau dizalimi. Seorang sahabat, Anas terkejut lalu bertanya: Wahai Rasulullah, membantu yang dizalimi itu jelas tetapi bagaimana kami membantu mereka yang zalim? Rasulullah SAW menjawab: Bantulah dia dengan menghentikannya daripada menzalimi." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

l Langkah ketiga, apabila pihak yang degil sudah berjaya ditundukkan, maka rundingan damai bolehlah segera dibuat untuk mencari penyelesaian kepada perselisihan dan mencapai kesefahaman semula. Firman Allah yang bermaksud: "Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." (Surah al-Hujurat, ayat 10) Ayat itu adalah lanjutan kepada ayat sebelumnya yang menegaskan bahawa orang yang beriman itu adalah bersaudara.

Orang-orang yang beriman sedar bahawa konsep persaudaraan dalam Islam itu penting kepada kekuatan ummah. Ikatan persaudaraan dalam Islam haruslah diutamakan dan kedudukannya mestilah di atas ikatan lain kerana persaudaraan merangkumi aspek kasih sayang, tolong menolong tanpa diskriminasi kelas, pangkat dan kedudukan juga tanpa tipu menipu atau tindas menindas. Sabda Rasulullah SAW dalam beberapa hadis mengenai persaudaraan antaranya: "Allah membantu hamba-Nya selama mana dia membantu saudaranya." (Hadis riwayat Muslim).

Daripada Abu Musa al-Asha'ri, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang beriman itu ibarat sebuah bangunan, setiap satu menyokong yang lainnya" (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Wanita JIM Pusat yang boleh dihubungi menerusi e-mel: wanitajim0@yahoo.com