Friday, March 28, 2008

Jendela Hikmah: Berselawat beri 10 kali ganda rahmat

TUNTUTAN AGAMA: Berarak sambil berselawat ketika meraikan Maulidur Rasul antara bukti kecintaan umat kepada Rasulullah SAW.

Jendela Hikmah: Berselawat beri 10 kali ganda rahmat
Oleh Faridah Maludin


Mengingati hari kelahiran pemangkin kecintaan hakiki kepada Rasulullah SAW ULANG tahun kelahiran Rasulullah SAW atau Maulidur Rasul disambut dengan pelbagai upacara sambutan dan aktiviti keagamaan di peringkat kebangsaan, negeri, daerah, kampung dan sekolah. Umat Islam menyambutnya dengan satu niat yang sama, yakni menyatakan tanda ingat, rasa kecintaan dan kasih kepada Rasulullah SAW. Mencintai Rasulullah SAW samalah mencintai agama.
Sesiapa menerima keesaan Allah, tetapi menolak kecintaan terhadap Rasulullah SAW, bermakna masih tidak lengkap keimanannya, tidak sempurna agamanya. Kalimah syahadah yang menjadi lambang pengesahan keimanan turut merangkaikan ungkapan persaksian kebenaran kerasulan Nabi Muhammad SAW. Kita memiliki keyakinan bahawa Islam itu hadir membawa rahmat yang sekali gus memancarkan keindahan agama maha suci. Rahmat yang hadir bersama terutusnya junjungan besar Nabi Muhammad SAW 1400 tahun lalu. Firman Allah yang bermaksud: "Dan tidak Kami utus engkau wahai Muhammad, melainkan untuk membawa rahmat kepada seluruh alam." (Surah al-Anbiya, ayat 107)

Kita mencintai Rasulullah SAW kerana Baginda membawa risalah kebenaran. Rasulullah SAW diutus bersama akhlaknya yang sempurna, sebagai asas moral kepada semua lapisan masyarakat. Rasulullah SAW memang seorang manusia yang patut dirindui serta dicintai melebihi insan lain di dunia ini. Malangnya kadang-kadang kita terlupa untuk mengenali Baginda dengan lebih mendalam hingga membuahkan keimanan yang dapat menghidupkan jiwa kerana menjadikan Baginda sebagai qudwah dan ikutan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak (sempurna) iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihi daripada anaknya, ibu bapanya dan manusia seluruhnya." (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim dan al-Nasa'i) Firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Ali-Imran, ayat 31)


Orang yang benar-benar mengasihi dan mencintai Rasulullah akan sentiasa menzahirkan pernyataan kasih sayang itu dalam segenap dimensi kehidupan. Mereka akan menyemai rasa kasih, membesarkan kedudukan Baginda dan menentang penghinaan atau cercaan terhadap Baginda. Ulama besar al-Imam al-Qhadi 'Iyadh al-Yahsubi menyenaraikan dalam kitabnya, Al-Syifa' bi al-Ta'rif Huquq al-Mustafa, mengenai tanda, bukti atau dalil bagi orang yang mencintai Rasulullah SAW. Penzahiran cinta kasih, rindu dan sayang kepada Baginda akan terserlah dalam diri individu Muslim itu berdasarkan tanda berikut: l Mengikuti agama dan cara hidup Rasulullah SAW, mengamalkan sunnah Baginda, mematuhi perkataan dan perbuatannya dalam segala keadaan, melaksanakan suruhannya dan menjauhi larangannya. Sentiasa mengamalkan adab kehidupan Rasulullah SAW dalam segala keadaan, sama ada ketika susah ataupun senang, sewaktu sedih ataupun gembira. l Mereka yang mencintai Nabi SAW akan sentiasa melazimkan diri mengingati dan menyebut selawat ke atas Baginda. Selawat kepada Rasulullah SAW adalah ungkapan kerinduan serta luahan rasa cinta kasih seorang umat kepada Baginda. Islam memberi ganjaran lumayan kepada orang yang banyak mengucapkan selawat ke atas Rasulullah SAW kerana Baginda menjanjikan 10 kali ganda balasan rahmat daripada Allah kepada mereka yang berselawat ke atas Baginda. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang yang beriman! Hendaklah kalian berselawat baginya dan mengucapkan salam penghormatan kepadanya." (Surah al-Ahzab, ayat 56) Dalam hadis diriwayatkan Anas, bahawa seorang lelaki datang menemui Nabi SAW lalu dia berkata, "Wahai Rasulullah, bilakah akan berlaku hari kiamat? Jawab Baginda: Apakah yang sudah engkau sediakan untuk menghadapi hari kiamat? Jawab lelaki itu: Aku tidak bersedia menghadapinya dengan banyak melakukan sembahyang, berpuasa (puasa sunat) atau bersedekah, tetapi aku amat kasih akan Allah dan Rasul-Nya. Maka sabda Baginda: Engkau akan bersama dengan yang engkau kasihi." (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Tirmizi) l Antara tanda orang yang mencintai Baginda ialah membenci apa yang dibenci Rasul-Nya, memusuhi orang yang memusuhinya, menentang mereka yang menyalahi sunnahnya serta memandang berat terhadap perkara yang bercanggah dengan syariat. Allah menjelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Engkau tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat tergamak berkasih mesra dengan orang yang menentang perintah Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang yang menentang itu bapa-bapa mereka, atau anak mereka, atau saudara mereka atau kaum keluarga mereka sendiri." (Surah al-Mujadalah, ayat 22)

l Mengasihi al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah SAW dan dengannya manusia mendapat petunjuk. Baginda sendiri mengikuti petunjuk al-Quran sehingga isteri Baginda Aisyah mengungkapkan bahawa akhlak Baginda adalah al-Quran. Tanda kasih terhadap al-Quran ialah dengan membacanya, beramal dengannya, memahami tafsiran dan tuntutannya, menjunjung suruhannya serta meninggalkan larangannya. Firman Allah yang bermaksud: "Dan apa juga perintah yang dibawa Rasulullah SAW kepada kamu, maka terimalah serta amalkan, dan apa juga larangan daripada kamu melakukannya maka patuhilah larangannya." (Surah al-Hasyr, ayat 7) Masyarakat Islam hari ini berdepan dengan gejala hilang jati diri, jauh dari agama, runtuh akhlaknya serta lemah semangat jihad. Penghayatan terhadap ajaran Islam semakin menipis dalam diri. Umat Islam semakin jauh daripada ajaran yang dibawakan Rasulullah SAW. Sedangkan, ancaman daripada musuh terhadap umat Islam semakin memuncak. Ancaman itu menjauhkan umat Islam daripada membina kecintaan sebenar kepada apa yang sepatutnya mereka cintai. Mengingati hari kelahiran Rasulullah SAW diharap dapat menjadi pemangkin kepada membangun kecintaan hakiki kepada Baginda.

Semoga dengan itu, umat Islam terutama generasi muda hari ini berjaya membina benteng kekuatan untuk menepis dan menghalang segala ancaman dan bahaya.

Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Wanita JIM Pusat dan juga pengarah PAKSI (Pusat sokongan keluarga) yang boleh dihubungi di e-mel wanitajim0@yahoo.com


INTIPATI: Memupuk kecintaan terhadap Nabi Muhammad SAW
Mengamalkan sunnah Baginda.
Melaksanakan semua suruhan dan menjauhi larangannya.
Mengikuti agamanya.
Mengamalkan cara kehidupannya.
Sentiasa ingat dan berselawat.
Mengamalkan adab kehidupan Baginda ketika susah atau senang.
Memandang berat perkara yang bercanggah syariah.
Membaca dan beriman kepada al-Quran.

Friday, March 07, 2008

Balasan pahala jika suami bersabar sikap buruk isteri

Balasan pahala jika suami bersabar sikap buruk isteri

Maznah Daud

ALLAH yang Maha Pengasih lagi Penyayang memerintahkan hamba-Nya supaya kasih mengasihi antara satu sama lain. Seseorang hamba hanya akan memperoleh kasih sayang daripada-Nya apabila dia mengasihi makhluk-Nya.

Jika ada dua orang sahabat berkasih sayang antara satu sama lain, maka yang lebih disayangi Allah antara keduanya ialah yang paling kasih kepada sahabatnya. Manusia yang memiliki sifat kasih sayang paling tinggi dan paling agung ialah Rasulullah SAW.

Baginda sangat mengasihi umatnya sehinggakan perasaan kasihnya yang mendalam itu dirakamkan Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya sudah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan ditanggung kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang yang beriman.” (Surah at-Taubah, ayat 128)


Kasih sayang sesama insan akan membuahkan sikap bertolak ansur, hormat menghormati serta sedia berkorban demi kebahagiaan insan tersayang. Dalam hubungan suami isteri, kedamaian dan kasih sayang adalah teras utama.

Allah menjadikan perasaan kasih mesra antara suami isteri sebagai sunnah yang ada padanya tanda kekuasaan dan keagungan-Nya.

Firman Allah bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri daripada diri kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan menimbulkan kesedaran bagi orang yang berfikir.” (Surah ar-Rum ayat 21)

Selaras dengan ayat itu, Rasulullah SAW sering menasihati suami sebagai ketua keluarga supaya melayani isteri dengan sebaiknya. Baginda menegaskan, suami yang terbaik itu ialah yang berlaku baik terhadap isterinya.

Baginda SAW juga berpesan kepada suami dengan sabdanya bermaksud: “Hendaklah kamu ingat memperingati supaya berbuat baik kepada wanita (isteri). Sesungguhnya mereka adalah seperti tawanan di sisi kamu. Kamu tidak memiliki apa-apapun daripada mereka kecuali hak menikmati hubungan kelamin antara kamu berdua. Tetapi, apabila isteri kamu melakukan kejahatan yang nyata, maka tinggalkan tempat tidur mereka, dan pukullah dengan cara yang tidak terlalu menyakitkan. Jika mereka kembali mentaatimu, maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyakitkan mereka. Ingatlah bahawa kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu dan isteri kamu juga ada hak ke atas kamu. Hak kamu ialah tidak membenarkan mana-mana lelaki tidur di atas tilam kamu dan tidak mengizinkan sesiapa yang kamu tidak suka memasuki rumah kamu. Adapun hak isteri ke atas kamu ialah kamu memberi yang terbaik kepada mereka pakaian dan makanan mereka.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Walaupun kehidupan isteri terikat dengan suami laksana seorang tawanan, mereka tidak boleh dianggap sebagai hamba yang boleh diperlakukan sesuka hati. Isteri mempunyai hak mendapat layanan sebaiknya.

Suatu ketika, ramai isteri datang menemui isteri Rasulullah SAW mengadu mengenai layanan buruk diterima daripada suami mereka. Apabila Rasulullah SAW mengetahuinya, Baginda bersabda bermaksud: “Sesungguhnya ramai wanita datang menemui isteriku mengadu mengenai suami mereka. Sesungguhnya suami kepada wanita itu bukanlah orang yang terbaik daripada kalangan kamu.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Tidak dinafikan, sebagai manusia masing-masing ada kelemahan dan kekurangan sama ada isteri mahupun suami. Cara terbaik mengatasinya ialah dengan bersabar serta tidak membesarkan kelemahan itu. Firman Allah bermaksud: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (berasa) benci kepada mereka (kerana tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya) kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedangkan Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak untuk kamu.” (Surah an-Nisaa’, ayat 19)

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Mana-mana lelaki yang bersabar di atas keburukan perangai isterinya, Allah akan berikannya pahala seperti diberikan kepada Ayyub kerana bersabar di atas bala yang menimpanya. Mana-mana isteri yang bersabar di atas keburukan perangai suaminya, Allah akan berikannya pahala seperti yang diberikan kepada Asiah binti Muzahim, isteri Firaun.”



Oleh Maznah Daud. Prof Madya Maznah Daud ialah bekas pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang boleh dihubungi di e-mel wanitajim0@yahoo.com



Renungi kisah seorang lelaki mengunjungi Umar bin al-Khattab untuk mengadu perangai isterinya. Dia berdiri di luar pintu, menunggu Umar keluar. Tiba-tiba dia terdengar isteri Umar sedang meleterinya sedangkan Umar diam tidak menjawab walau sepatah pun. Maka lelaki itupun beredar sambil berkata kepada dirinya sendiri: “Jika beginilah keadaan Umar, seorang Amirul-Mukminin yang selalu keras dan tegas, maka bagaimana dengan aku?

Selepas itu Umar keluar dari rumahnya dan melihat lelaki tadi sudah beredar. Umar memanggilnya dan bertanya tujuan kedatangannya. Lelaki itu berkata: “Wahai Amirul-Mukminin, aku datang untuk mengadu perangai isteriku yang buruk dan suka berleter di hadapanku. Tadi aku mendengar isteri anda pun begitu juga. Lalu aku berkata kepada diriku, jika beginilah keadaan Amirul-Mukminin dengan isterinya, maka bagaimana dengan aku.

Umar berkata kepadanya: “Wahai saudaraku, sesungguhnya aku bersabar mendengar leterannya kerana dia mempunyai hak ke atasku. Sesungguhnya dia memasak makananku, mengadun roti untukku, membasuh pakaianku dan menyusui anakku, padahal semua itu tidak diwajibkan ke atasnya. Dia juga menenangkan hatiku daripada melakukan perbuatan yang haram (zina). Sebab itulah aku bersabar dengan kerenahnya?

Lelaki itu menjawab: “Wahai Amirul-Mukminin, demikian jugalah isteriku? Umar pun berkata kepadanya: “Maka bersabarlah wahai saudaraku. Sesungguhnya kerenahnya itu tidak lama, hanya seketika saja.”


Oleh Prof Madya Maznah Daud ialah bekas pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

Saturday, March 01, 2008

Nikmati dunia dengan prinsip Illahi

Jendela Hikmah: Nikmati dunia dengan prinsip Illahi

Oleh Che Asmah Ibrahim
wanitajim0@yahoo.com


TERJEJAS: Selain daripada limpahan hujan lebat luar biasa, banjir juga dikaitkan dengan faktor pembangunan tidak terancang dilakukan manusia. - Gambar hiasan

Fenomena perubahan iklim antara kerosakan akibat daripada perbuatan manusia

SYARIAH Islam meliputi semua aspek kehidupan manusia termasuk urusan ibadat dan muamalat yang berkait terus dengan kehidupan insan, tidak hanya tertakluk kepada aspek perundangan serta kehakiman semata-mata.

Menurut ulama terkemuka Dr Yusuf Qaradhawi, Islam bukanlah semata-mata pensyariatan dan perundangan. Sebaliknya Islam juga adalah akidah yang menafsirkan erti kehidupan, ibadat, akhlak dan nilai mengangkat martabat manusia serta adab kesopanan yang menghiasi kehidupan.

Dalam erti kata sebenar, syariah Islam yang disempurnakan melalui perutusan Nabi Muhammad SAW menjamin perlindungan dan hak kepada semua makhluk untuk hidup sejahtera di muka bumi seperti digambarkan Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: "Dan Kami tidak mengutuskan engkau Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi semesta alam." – (Surah Al-Anbiya', ayat 107)


Oleh demikian, usaha memakmurkan bumi dan penjagaan alam semesta adalah sejajar dengan tuntutan syariat Islam.

Manusia adalah makhluk yang dikurniakan kelebihan akal oleh Allah dan dengan akal ini manusia dapat membezakan antara yang baik dan buruk. Ia membolehkan manusia membuat pilihan dalam banyak perkara berkaitan kehidupan mereka.

Sebagai khalifah, manusia adalah penerima amanat terbesar yang tidak sanggup diterima makhluk lain. Perkara ini dirakamkan dalam firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-ganang, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikul amanat itu oleh manusia." – (Surah al-Ahzab, ayat 72)

Disamping kurniaan akal, Allah juga menurunkan Rasul dan kitab untuk dijadikan panduan dan petunjuk kepada manusia dalam melaksanakan amanat sebagai khalifah di bumi yang kaya dengan pelbagai sumber.

Malah, setiap kejadian dan makhluk mempunyai kepentingan dan kaitan dengan kehidupan manusia. Sejajar martabat manusia sebagai khalifah, mereka seharusnya berperanan membawa kesejahteraan kepada sekalian alam, bukan melakukan kerosakan.

Manusia seharusnya sedar setiap langkah dan perbuatan akan memberi kesan kepada alam sekeliling. Kerosakan dan kemusnahan alam yang berlaku memberi kesan secara langsung kepada perjalanan hidup manusia.

Apabila sungai yang menjadi sumber bekalan air utama kepada kehidupan manusia, tumbuhan dan haiwan tercemar, ia akan menjejaskan mutu kehidupan seperti melakukan ibadat solat yang memerlukan kita menyucikan diri dengan air bersih.

Begitu juga apabila udara tercemar akibat perbuatan tangan kita sendiri, maka kita tiada pilihan melainkan menghirup kembali udara tercemar itu untuk tujuan pernafasan. Keadaan ini akan mendatangkan mudarat kepada kesihatan kita.

Kejadian jerebu yang melanda negara kebelakangan ini, bukan saja menjejaskan kesihatan manusia juga tumbuh-tumbuhan dan kehidupan di lautan disebabkan kekurangan cahaya matahari. Setiap kejadian pencemaran akan menjejaskan keseimbangan ekosistem yang akhirnya membawa kerugian kepada manusia sendiri.

Islam amat menitikberatkan penjagaan dan pemuliharaan alam sebagai satu amanah yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Islam melarang kita daripada melakukan kerosakan di muka bumi dalam apa juga bentuk sehinggakan dalam peperangan sekali pun umat Islam dilarang melakukan kerosakan kepada tumbuh-tumbuhan, orang tua, golongan perempuan dan kanak-kanak.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi ini. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan." – (Surah al-Qasas, ayat 77)







Ayat itu menegaskan bahawa matlamat kehidupan duniawi tidak boleh terkeluar daripada hakikat kebahagiaan ukhrawi itulah menjadi matlamat akhir. Kesenangan duniawi mesti dipandu dengan prinsip Ilahi supaya menjurus ke arah kebaikan dan dapat menghindarkan manusia daripada melakukan kerosakan.





Abad ke-21 menyaksikan pelbagai kerosakan yang berlaku di muka bumi akibat daripada perbuatan tangan manusia atas alasan melaksanakan pembangunan material. Allah memberi peringatan mengenai kerosakan ini dalam firman-Nya yang bermaksud: "Telah nampak kerosakan di daratan dan di lautan disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka supaya mereka kembali (ke jalan yang benar)." (Surah ar-Rum, ayat 41)

Kesan fenomena perubahan iklim adalah antara kerosakan yang berlaku akibat daripada perbuatan tangan manusia dengan kesan amat membimbangkan. Dunia pada hari ini berhadapan ancaman berlakunya pemanasan global disebabkan peningkatan suhu bumi, diikuti perubahan kepada taburan hujan serta kenaikan paras laut akibat daripada fenomena itu.

Perubahan itu seterusnya memberi kesan lebih besar kepada keseluruhan ekosistem. Kejadian banjir besar luar musim membawa kemusnahan pada skala besar diikuti kejadian kemarau panjang juga membawa kepada kemusnahan hutan yang tidak dapat dikawal manusia.

Kemusnahan alam yang berlaku akan mengganggu keseluruhan proses kehidupan yang saling berkaitan, bergantungan dan berinteraksi secara teratur dalam satu ekosistem.

Kejadian bencana alam yang berlaku sudah cukup memberi pengajaran dan amaran kepada manusia yang menyangka dirinya hebat dan megah dengan segala pembangunan dilaksanakan bahawa manusia tidak mampu untuk bertindak menangkis kemusnahan berlaku dalam sekelip mata.

Kejadian itu sepatutnya memberi kesedaran dan pengajaran kepada manusia bahawa setiap usaha pembangunan yang hendak dilaksanakan perlu mengambil kira tiga perkara iaitu hubungan dengan Penciptanya, hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam semesta.

Ketiga-tiga perkara ini adalah dasar kepada tindak tanduk manusia sebagai khalifah yang dapat melindungi manusia dan alam. Kegagalan menghormati ketiga-tiga perhubungan ini akan menyebabkan kehancuran proses kehidupan itu sendiri.

Penulis ialah Timbalan Ketua Wanita JIM yang juga Pengarah Jabatan Alam Sekitar Selangor dan boleh dihubungi di emel wanitajim0.yahoo.com