Saturday, December 29, 2007

Perancangan teliti jaminan kehidupan masa depan

Oleh Siti Aishah Mahamad
wanitajim0@yahoo.com

PENGHUJUNG 2007 sudah hampir dan pelbagai peristiwa suka duka berlaku di luar perancangan kita. Semua peristiwa yang berlaku adalah kehendak Allah. Di sebalik tirai kejadian baik atau buruk, ada pengajaran bagi orang mahu mengambil iktibar.

Insan bersabar adalah insan yang terpilih dan menang dalam menghadapi ujian kehidupan. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berfikir." (Surah Ali-Imran, ayat 190)

Bukan bencana yang kita minta, tetapi jika ada maklumat atau petanda ramalan yang disampaikan, hendaklah diberi perhatian serta mengambil langkah keselamatan untuk menghadapinya.

Begitu juga dalam menyambut kedatangan tahun baru 2008, seharusnya disambut dengan melakukan melakukan perancangan dan persiapan.

Perancangan hari ini adalah persiapan untuk hari esok. Kita perlu menoleh ke belakang sejenak untuk membuat renungan mengenai pencapaian diri dan ahli keluarga sepanjang 2007. Senaraikan beberapa kekuatan dan kelemahan pencapaian diri, keluarga atau setiap ahli keluarga.

Masih ada perkara dan ruang untuk ditingkatkan serta diperbaiki. Contohnya, anak kita lemah dalam mata pelajaran bahasa Inggeris, maka tumpuan diberi kepada subjek berkenaan. Jika bilangan anak bersekolah bertambah, perlu dibuat perancangan kewangan untuk pendidikan mereka.

Perlu mengambil langkah berjimat cermat atau berbelanja secara berhemah. Membeli mengikut keperluan, bukan ikut yang berkenan di hati supaya perbelanjaan persekolahan anak dapat disempurnakan.

Membuat perancangan kehidupan keluarga boleh mengambil contoh pengurusan organisasi. Keluarga adalah unit kecil dalam masyarakat dan kejayaan menguruskan keluarga membantu ke arah melahirkan masyarakat sejahtera.

Justeru, elok benar jika perancangan untuk keluarga mengikut cara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengurusnya merancang perjalanan organisasi yang mencakupi wawasan, matlamat serta objektif jangka pendek atau panjang untuk keluarga.

Setiap keluarga perlu menetapkan perkara yang ingin dicapai sepanjang 2008 dan merencana program untuk mencapai hasrat berkenaan.

Jika keluarga berhasrat menjadi keluarga cemerlang, maka setiap ahlinya perlu meningkatkan ilmu, iman dan amal; memupuk nilai dan akhlak mulia; memupuk kasih sayang dikalangan ahli keluarga dan jiran; mengurus sumber kewangan dengan cekap dan berhemah serta membina suasana rumah yang bersih, ceria dan bahagia.

Bagi melicinkan pelaksanaan perancangan, ibu bapa perlu memantau dari semasa ke semasa. Ini boleh dilakukan melalui sesi perbualan, perbincangan, ketika perjumpaan keluarga seminggu sekali, ketika makan bersama atau selepas solat berjemaah.

Budaya begini biasanya diamal oleh organisasi atau di tempat kerja, maka alangkah baiknya jika dapat diamalkan dalam institusi keluarga. Keluarga hari ini terdiri daripada ibu bapa dan anak berilmu pengetahuan, profesional serta bekerjaya.

Keluarga yang kompleks ini menghadapi pelbagai cabaran. Justeru, kemahiran membuat keputusan yang bijak dan penyelesaian masalah sangat penting. Merancang adalah satu perkara sangat perlu diberi perhatian.

Institusi keluarga Muslim pastinya memiliki matlamat hidup untuk mencari keredaan Allah dalam setiap perkara dilakukan. Aktiviti kehidupan di dunia adalah sebagai bekalan untuk kehidupan lebih sejahtera di hari akhirat.

Bermula dengan niat mencari reda Allah akan menjana tindakan dan amal bertepatan syariat Islam. Kita menjaga batas halal dan haram, kita sedar mengenai dosa dan pahala serta bagaimana memelihara iman dalam kehidupan seharian.

Pendidikan adalah agenda utama orang Islam dan suruhan Allah melalui firman yang bermaksud: "Bacalah dengan nama Tuhan yang menciptakan." (Surah al-Alaq, ayat 1)

Untuk memastikan setiap diri sentiasa aktif menuntut ilmu, umat Islam digalakkan membaca untuk meningkatkan ilmu. Ibu bapa perlu menyedari tanggungjawab memberi ilmu pengetahuan dan mendidik adab serta akhlak kepada anak.

Di samping menyedia keperluan asas seperti memberi makan minum, pakaian, tempat tinggal yang selamat, ibu bapa bertanggungjawab menghantar anak ke sekolah bagi menimba pengetahuan.

Pada 2008, pelajar akan dibekalkan pinjaman buku teks. Pihak ibu bapa bersama guru perlu memikirkan bagaimana buku ini dapat diguna dan dimanfaat sebaik mungkin.

Semoga perancangan dan persiapan menyambut tahun baru akan mencapai hajat atau matlamat diidamkan.

Siti Aishah Mahamad ialah Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Isap Kuantan, Pahang, yang boleh dihubungi di e-mel wanktajim0@yahoo.com

Friday, December 21, 2007

Ibadat korban didik perasaan belas ihsan

Jendela Hikmah: Ibadat korban didik perasaan belas ihsan
Oleh Endok Sempo M Tahir
wanitajim0@yahoo.com

KITA berada pada hari kedua Aidiladha, bermakna masih ada dua hari lagi untuk melakukan ibadat korban. Selain aspek berkorban untuk ketakwaan, persaudaraan dan keprihatinan, ada satu lagi aspek yang perlu dihayati dalam ibadat korban.

Aspek yang mencerminkan keagungan Islam dalam ibadat korban itu adalah sifat ihsan. Ibadat korban menganjurkan supaya kita sentiasa berlaku belas ihsan terhadap makhluk lain, tidak kira sama ada yang berakal atau tidak.

Contohnya, Islam meletakkan garis panduan yang sangat baik bagi memastikan binatang disembelih ditamatkan riwayatnya dengan penuh belas ihsan. Demikian juga daging yang akan diambil kelak, terhindar daripada kotoran yang membahayakan kesihatan.



Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mewajibkan supaya diperlakukan belas ihsan atas setiap sesuatu. Maka jika kamu ingin membunuh, bunuhlah dengan penuh keihsanan. Dan jika kamu ingin menyembelih, maka sembelihlah dengan penuh keihsanan. Hendaklah kamu menajamkan pisau yang kamu akan gunakan untuk menyembelih dan hendaklah kamu memberi rehat yang secukupnya bagi binatang yang ingin kamu sembelih itu." (Hadis riwayat Muslim dan Tarmizi)

Diriwayatkan oleh Hakim, bahawa seorang lelaki membaringkan binatang yang ingin disembelih. Dia kemudian menajamkan pisaunya. Rasulullah SAW menegur perbuatan lelaki itu seraya bersabda yang bermaksud: "Adakah engkau mahu binatang itu mati dua kali? Alangkah baiknya jika engkau menajamkan pisau engkau dulu sebelum engkau membaringkan binatang itu."

Ada beberapa kajian menunjukkan bahawa cara penyembelihan Islam dapat memastikan binatang yang disembelih tidak rasa kesakitan. Binatang sembelihan pula akan mati dengan cepat.

Mengikut kajian Profesor Wilhelm Schulz dan Doktor Hazim dari Universiti Hanover di Jerman, ketika pisau mula memotong leher binatang, aktiviti otaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan. Ini membuktikan ia tidak rasa sebarang kesakitan. Tiga saat selepas penyembelihan, aktiviti otak binatang menunjukkan bahawa ia sudah pengsan atau koma, membuktikan segala kesakitan akibat penyembelihan tidak dapat dirasainya lagi.

Ini adalah akibat pengaliran jumlah darah yang terlalu banyak dan terlalu cepat daripada otak binatang itu. Hanya enam saat selepas disembelih, otak binatang itu tidak menunjukkan sebarang aktiviti, menandakan ia sudah mati.

Begitulah hikmah mengapa Allah mensyariatkan penyembelihan, sebagai cara yang penuh belas ihsan kepada binatang.

Apabila Allah menyuruh menunjukkan belas ihsan kepada binatang yang akan disembelih untuk dijadikan makanan, kita seharusnya lebih menunjukkan belas ihsan kepada sesama manusia.

Oleh itu, janganlah kita mudah menghukum. Jangan mudah meremehkan perasaan orang lain.

Kita bukan dijadikan untuk menjadi hakim bagi semua amalan mereka. Kita bukan dijadikan sebagai penghukum bagi dosa mereka. Itu adalah tugas Allah. Malah, kita sendiri tidak tahu kesudahan mereka dan kesudahan hidup kita.

Oleh itu, kita perlu menunjukkan sifat belas ihsan terhadap semua manusia. Islam adalah agama yang menganjurkan keamanan dan menegah kemungkaran.

Marilah kita hidupkan ajaran Islam dengan menggalakkan sifat belas ihsan sesama manusia, tidak kira bangsa dan agama. Semoga kita dapat mengambil iktibar daripada pengajaran yang ditunjukkan dalam ibadat korban ini.

Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Wanita JIM Pusat yang boleh dihubungi di e-mel wanitajim0@yahoo.com

Saturday, December 15, 2007

Jendela Hikmah: Makin ramai lupa fadilat Aidiladha

Oleh Tuan Yaacob Tuan Sof
http://qurban-aqiqah.jim.org.my/1428/

AIDILADHA yang dirayakan pada 10 Zulhijah adalah tanda pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail mentaati perintah Allah. Ia juga simbol perpaduan ummah apabila setiap tahun umat Islam berhimpun di Makkah untuk menunaikan ibadat haji.

Sambutan hari raya ini oleh umat Islam di seluruh dunia mempunyai falsafahnya tersendiri. Hari raya adalah kurniaan Allah kepada orang Islam Ansar menggantikan amalan hari perayaan jahiliah sebelum kedatangan Islam di Madinah.

Diriwayatkan Imam Abu Daud dan an-Nasai daripada Anas dalam hadis yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu yang lebih baik daripada keduanya iaitu Aidiladha dan Aidilfitri."



Ibn Taimiyah juga menyebut perayaan ini adalah suatu 'syariat' seperti ditegaskan dalam firman Allah yang bermaksud: "Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama atau ibadat (yang wajib diikuti oleh masing-masing)." (Surah Al Maidah, ayat 48)

Oleh itu, perayaan yang diraikan umat Islam bukan semata-mata aktiviti sosial tetapi adalah satu ibadat yang dituntut dalam agama.

Garis panduan merayakan Aidilfitri dan Aidiladha ada persamaan dan perbezaan. Jika pada Aidilfitri kita dilarang berpuasa pada hari raya pertama, pada sambutan Aidiladha dilarang berpuasa selama empat hari.

Bertakbir hanya sehari di Aidilfitri tetapi dituntut bertakbir selama empat hari berturut-turut di Aidiladha, disunatkan mengerjakan solat sunat hari raya, diwajibkan membayar zakat fitrah pada Aidilfitri tetapi disunatkan melakukan ibadat korban sebagai tanda ketakwaan dan keimanan terhadap Allah selepas solat sunat Aidiladha.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan." (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Dapat difahami bahawa apa yang dituntut daripada ibadat korban ialah keredaan dan lapang dada kita untuk melakukan ibadat itu, bukan terpaksa, terikut-ikut atau untuk menunjuk-nunjuk. Apa yang akan sampai kepada Allah bukan daging, atau binatang korban tetapi ketakwaan yang mendorong kita melakukan ibadat korban.

Allah berfirman yang bermaksud: "Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketakwaan kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang itu bagi kamu, supaya kamu mengagungkan Allah atas apa yang Dia beri petunjuk kepada kamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang melakukan kebaikan." (Surah Al-Haj, ayat 37)

Perayaan Aidiladha berlangsung selama empat hari dari 10 Zulhijah hingga 14 Zulhijah. Selama empat hari itu disunatkan berkorban dan daging korban akan diagih-agihkan kepada mereka yang miskin sebagai satu cara penyucian jiwa bagi mereka yang kaya.

Kita juga sewajarnya menziarahi sanak-saudara dan keluarga terdekat serta kenalan untuk menguatkan ikatan persaudaraan sempena menyambut Aidiladha. Kegembiraan meraikan hari raya amat digalakkan dalam mentauhidkan Allah.

Ibadat korban mencerminkan dua perkara. Pertama, ia adalah wasilah atau perantaraan bagi mengeratkan hubungan sesama anggota keluarga dan masyarakat. Kedua, ibadat korban mencerminkan sifat keihsanan yang sangat dianjurkan Islam.

Tetapi apa yang berlaku di tanah air kita ialah semakin ramai menjadi kurang prihatin dan memahami tujuan sebenar sambutan hari raya seperti yang disarankan agama. Pada pertengahan Ramadan sudah berkumandang lagu raya seolah-olah kita lupa sebenarnya ibadat berpuasa menuntut pengorbanan nafsu yang tinggi.

Media elektronik berlumba-lumba meraih penonton dengan menghidangkan pelbagai rancangan hiburan, hinggakan semakin ramai terpaku di hadapan televisyen dan amalan untuk menziarahi sanak saudara serta sahabat handai makin dilupakan.

Cuti umum Aidiladha pula dianggap seperti hari cuti biasa, diisikan dengan tidur atau membasuh kereta. Mungkin ramai beranggapan Aidiladha khusus bagi mereka yang sedang menunaikan haji di Makkah menyebabkan ramai yang tidak berapa mengambil peduli untuk meraikan Aidiladha.

Sudah sampai masanya kita kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah untuk menyambut hari raya supaya pengisian yang dilakukan mendapat keredaan Allah. Wang untuk membeli pakaian baru adalah lebih baik digunakan untuk melaksanakan ibadat korban.

Kemungkinan kita boleh meraikan Aidiladha tahun ini dengan mengorbankan seekor lembu yang dikongsi bersama ahli keluarga, kemudian daging korban diberikan kepada orang miskin atau komuniti orang asli supaya dapat merasai nikmat keimanan serta penghayatan Aidiladha.

Firman Allah yang bermaksud: "Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua-dua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya ketika mereka mempersembahkan korban maka diterima daripada salah seorang daripada mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): Aku pasti membunuhmu! Berkata Habil: Sesungguhnya Allah hanya menerima korban daripada orang yang bertakwa." (Surah al-Maidah, ayat 27)

Umat Islam mesti mengagungkan dan membesarkan hari perayaan agama mengikut konsep yang sebenarnya. Kita perlu mengetahui tujuan sebenar atau cerita di sebalik sambutan hari raya supaya mendapat rahmat daripada Allah.

Penulis ialah Bendahari Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia yang menguruskan Dana Projek Cemerlang Korban secara on line yang boleh dilayari di http://qurban-aqiqah.jim.org.my/1428/

Friday, December 07, 2007

Jendela Hikmah: Hukum agih daging korban kepada bukan Muslim

Oleh Alias Othman
wanitajim@yahoo.com
ISU yang sering ditimbulkan dalam ibadat korban ialah amalan korban dalam masyarakat berbilang atau silang agama. Dalam konteks masyarakat silang agama, yang penting ialah usaha meletakkan Islam di tempat dapat dilihat oleh semua pihak sebagai satu sistem yang mampu memesrakan hubungan dalam kehidupan seharian.

Melihat amalan ibadat korban di Malaysia, pendapat yang menjadi pegangan majoriti umat Islam di negara ini ialah daging korban tidak boleh diberi makan kepada orang bukan Islam. Pada peringkat sebelum berlaku interaksi sangat rapat antara orang Islam dan bukan Islam di Malaysia, pegangan seperti itu memang tidak menimbulkan apa-apa isu.

Namun, sejak akhir-akhir ini, selepas hubungan silang agama semakin rapat dan akrab, ziarah menziarahi kerap berlaku, saling menjemput ke majlis jamuan dan kenduri kendara sudah menjadi kebiasaan.

Malah, seorang Islam atau bukan Islam mungkin berasa janggal jika tidak menjemput rakan bukan Islam ke majlis yang diadakan, terutama jiran satu taman dan rakan setempat kerja. Budaya dan interaksi seperti ini mungkin menimbulkan isu.

Keadaan lebih ketara pada ibadat aqiqah yang pada kebiasaannya dilakukan di rumah. Majoriti orang Islam di Malaysia berpendapat daging aqiqah haram diberi makan kepada orang bukan Islam. Seorang Muslim akan berasa serba salah, jika tidak menjemput jiran bukn Islam sebelah rumah.

Dianggap kurang manis jika tidak memberikan daging korban kepada jiran. Sebaliknya, berasa bersalah kerana sudah melanggar hukum syarak yang mengharamkan daging aqiqah dan korban diberi makan kepada bukan Islam.

Jiran bukan Islam juga akan tidak selesa berada di rumah dalam keadaan dia tidak dijemput. Biasanya mereka akan sengaja membuat helah untuk tidak berada di rumah pada masa majlis diadakan.

Keadaan seperti ini sebenarnya menimbulkan satu tanggapan bahawa Islam tidak mesra jiran. Apakah tidak ada cara bagi umat Islam mengatasi masalah ini. Apakah tidak ada pendapat lain, selain pendapat yang mengatakan daging korban dan aqiqah haram diberi makan kepada bukan Islam?

Pendapat umum dan amalan orang Islam di Malaysia mengatakan daging korban tidak boleh diberi makan kepada bukan Islam. Namun, kita boleh merujuk kepada pendapat dikemukakan ulama mazhab lain dalam isu ini. Kita dapat mengesan pelbagai pendapat dengan hujah masing-masing. Melalui pendapat itu umat Islam mungkin dapat menemui jalan keluar daripada isu ini.

Penulis Kitab Kasyf al-Qina menyatakan mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban kepada orang Yahudi dan Nasara. Mazhab Hambali pula mengharuskan memberi hadiah daging korban sunat kepada bukan Islam, tidak harus menghadiahkan daging korban wajib kepada mereka.

Dalam al-Bajrimi dinyatakan tidak harus memberi makan daging korban kepada bukan Islam. Dinyatakan juga dalam Kitab al-Majmu` disebutkan harus memberi makan daging korban sunat kepada fakir miskin ahli zimmah, tidak harus memberi mereka makan daging korban wajib.

Al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, disebutkan bahawa Ibn al-Munzir menyatakan ulama sepakat daging korban boleh diberi makan kepada fakir miskin Islam, namun mereka khilaf mengenai memberi makan daging korban kepada fakir miskin kafir ahli zimmah.

Imam Hasan al-Basri memberi keringanan mereka memakannya. Abu Thur juga berpendapat demikian. Disebutkan juga Imam Malik lebih suka ia diberi makan kepada selain fakir miskin bukan Islam. Al-Lith menganggapnya makruh, namun berpendapat jika dimasak harus diberi makan kepada mereka berserta fakir miskin Islam.

Ibnai Qudamah dalam al-Mughni wa al-Syarh al-Kabir dan al-Syarbini dalam al-Iqna' menyebutkan mazhab Maliki berpendapat makruh menghadiahkan dan memberi makan daging korban kepada orang Yahudi dan Nasrani.

Mazhab Hambali, al-Hasan, Abu Thur, berpendapat harus memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam, kafir zimmi daging korban sunat, tetapi daging korban wajib, seperti korban nazar tidak harus.

Hukumnya sama dengan hukum zakat dan kifarat sumpah. Mazhab Syafie pula berpendapat tidak boleh memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam daging korban sunat atau wajib.

Ibh Hazmin dari Mazhab Zahiriyah dalam kitabnya al-Muhalla menyatakan tuan punya korban boleh memberi makan kepada orang kaya dan orang bukan Islam atau dia menghadiahkan sedikit daripadanya.

Berdasarkan pendapat itu, kesimpulan yang boleh dibuat:

l Mazhab Syafie berpendapat haram memberi makan daging korban sunat atau wajib kepada bukan Islam.

l Mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban sunat kepada bukan Islam dan tidak harus (haram) memberi mereka makan daging korban wajib, seperti korban yang dinazarkan, sama seperti hukum zakat.

l Mazhab Hambali berpendapat harus menghadiahkan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan haram menghadiahkan kepada mereka daging korban wajib.

l Semua ulama mazhab sepakat (ijma') memberi atau memberi makan daging korban atau aqiqah wajib kepada bukan Islam adalah haram.

Ini bererti hanya ulama Mazhab Syafi`ie saja yang berpendapat daging korban sunat atau wajib tidak boleh (haram) diberi atau diberi makan kepada bukan Islam. Majoriti ulama lainnya berpendapat harus memberi mereka makan daging korban sunat, tidak harus jika korban wajib.

Dalam konteks Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada penganut pelbagai agama, pendapat majoriti ulama yang mengharuskan orang bukan Islam diberi atau diberi makan daging korban sunat lebih baik diterima pakai.

Tujuannya adalah untuk menunjukkan kepada masyarakat bukan Islam bahawa Islam memang ada sistem yang mesra bukan Islam dan dapat memelihara perhubungan silang agama.

Di samping itu, menerima pakai pendapat majoriti dapat memberi ketenangan kepada orang Islam sendiri, kerana mereka tidak berasa bersalah untuk menjemput jiran kalangan bukan Islam menghadiri majlis kenduri mereka.

Prof Madya Alias Othman adalah Penasihat Syariah JIM yang boleh dihubungi di e-mel wanitajim@yahoo.com