Friday, August 31, 2007

Jendela Hikmah: 6 persiapan sambut kedatangan Ramadan

Oleh Prof Madya Maznah Daud


RAMADAN yang kita tangisi pemergiannya hampir setahun lalu kini bertandang lagi. Kita yang beriman dan yakin pada janji Allah menanti kehadiran bulan penuh berkat ini dengan pelbagai perasaan.

Seronok dan bimbang. Seronok kerana diberi peluang berjumpa dan beramal dengan bulan yang penuh berkat. Bimbang kerana kurang yakin ibadat maksimum akan dapat dilaksanakan. Risau, takut amal tidak membuahkan takwa yang diharapkan.


Sesungguhnya kelebihan dan keistimewaan Ramadan bukan lagi satu rahsia. Allah sudah memilih daripada bulan ini satu detik paling bersejarah dalam kehidupan umat sejagat, iaitu detik turunnya kitab suci paling agung. Kitab yang diturunkan khusus untuk memimpin tangan manusia ke jalan yang benar.

Ramadan juga mencatat sejarah gemilang kemenangan golongan yang membawa panji kebenaran ke atas golongan mustakbirin yang mempunyai kekuatan material tiga kali ganda dalam Ghazwah Badar al-Kubra.

Ketibaan bulan mulia penuh sejarah ini sewajarnya disambut dan diraikan dengan acara gilang-gemilang. Oleh itu, ketibaannya perlu disambut dengan beberapa persediaan yang cukup selain mengikhlaskan pengabdian kepada Pencipta Yang Maha Esa.

Ketibaan sekali lagi Ramadan, untuk kita memperbetulkan diri, meningkatkan iman dan mempersiapkan kekuatan serta bekalan. Seperti doa diajarkan Rasulullah SAW kepada kita. Apabila Rasulullah SAW melihat anak bulan Rejab, Baginda membaca bermaksud: “Ya Allah, rahmatilah kami dengan Rejab dan Syaaban, dan sampaikan kepada kami Ramadan.” (Hadis riwayat at-Tabrani dan Ahmad)






Betapa besar kurniaan Allah kepada kita pada Ramadan, di mana Rasulullah SAW sudah mengajarkan kita berdoa supaya kita dihidupkan hingga sampai Ramadan, supaya bulan itu dimanfaatkan untuk kita menjadi seorang hamba yang patuh kepada-Nya.

Bagi pejuang spiritual, peluang mengecapi Ramadan sememangnya ditunggu-tunggu. Apabila tamat Ramadan tahun lepas, kita iringi pemergiannya dengan tangisan penuh ketakwaan dan air mata keinsafan.

Bulan itu bukan sekadar nikmat, tetapi penuh ujian serta peluang melipat gandakan amal dakwah mendekatkan kita pada jalan Allah. Persediaan dan perancangan perlu dilakukan untuk memaksimumkan segala peluang pada Ramadan ini.

Kita maklum, sebarang amal kebajikan yang dilakukan akan diberi balasan berganda. Martabat pahalanya lebih tinggi jika ia dilakukan pada Ramadan. Sunat diberikan pahala wajib, yang wajib digandakan dengan gandaan berdasar keredaan kurniaan Allah.

Ketika Ramadan menjelang, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Wahai manusia, menjelang tiba bulan agung lagi berkat. Bulan yang di dalamnya ada satu malam lebih baik daripada 1,000 bulan. Sesiapa mendekatkan dirinya dengan mengerjakan amalan fardu, seolah-olah dia sudah mendapat 70 pahala fardu pada bulan lain. Sesiapa mendekatkan dirinya dengan amalan sunat, seolah-olah dia mendapat pahala amalan fardu pada bulan yang lain. Ia adalah bulan sabar iaitu bulan yang awalnya rahmat, tengahnya keampunan dan akhirnya selamat dari neraka.” (Hadis riwayat Ibn Khuzaimah)

Antara persiapan yang perlu dilakukan menjelang Ramadan ialah:


Persediaan diri untuk berpuasa. Seminggu sebelum berpuasa kita dikehendaki mengurangkan kadar makanan kita dan lebihkan makan buah-buahan serta sayur-sayuran. Pastikan pembuangan air besar lawas.


Memahirkan diri dengan segala rukun, sunat, harus, makruh yang berkaitan dengan puasa pada Ramadan, sunat tarawih dan lain-lain lagi.


Membiasakan diri bangun pada sepertiga malam untuk bertahajud, mendekatkan diri pada Allah. Sebagai persediaan membiasakan tarawih dan tahajud pada Ramadan. Ramadan adalah bulan rukuk dan sujud.


Memperuntukkan beberapa jumlah wang untuk dijadikan sedekah jariah dan zakat fitrah. Bagi mereka yang sudah akil baligh, maka belajarlah membayar zakat fitrah sendiri.


Rancang strategi tersusun untuk memperbanyakkan hafalan, bacaan, tadabbur, tadarrus al-Quran.


Melatih dan membentuk diri bersifat mahmudah, sifat terpuji seperti sabar, membanyakkan senyuman kepada sahabat dan kerabat. Merendam sifat mazmumah, sifat keji seperti memfitnah, mengumpat dan mengata orang. Kurang bercakap lagha (merapu), tidak berbahasa lucah, kotor dan keji.

Oleh itu, dengan persediaan ini kita sematkan azam masing-masing untuk mencantikkan dan sempurnakan amalan fardu yang wajib dan membanyakkan amalan sunat pada Ramadan.

Penulis ialah penasihat syariah Wanita JIM dan boleh dihubungi di emel, wanitajim0@yahoo.com

Friday, August 24, 2007

Lima asas penting remaja jiwa merdeka

Jendela Hikmah:Oleh Maryam Jailani


PADA saat rakyat seluruh negara membilang hari menjelang sambutan kemerdekaan yang ke-50 pada akhir bulan ini, ramai remaja masih tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan jiwa remaja merdeka. Lahir pasca merdeka terutama menyebabkan mereka hanya mendengar kisah kemerdekaan daripada generasi emas atau berusaha memahaminya menerusi rakaman yang masih tersimpan.



Sesungguhnya tidak. Mengapa? Kerana erti sebenar jiwa merdeka lebih daripada itu! Mengetahui erti sebenar jiwa merdeka serta batasnya, dan memahami nilainya yang sebenar boleh memberikan kita kesedaran betapa penting dan berharganya aset ini. Kefahaman ini memandu kita dengan jelas dan selamat agar tidak melangkaui sempadan kemerdekaan diberikan kepada kita.

Dalam konteks ini, jiwa remaja yang merdeka dapat difahami berdasarkan lima asas penting, pertama, jiwa remaja yang merdeka kenal jati dirinya.

Jiwa remaja yang merdeka memahami dari mana dirinya datang, mengapa dirinya diciptakan dan ke mana dirinya akan kembali. Kefahaman ini bukan sekadar maklumat pengetahuan yang dihafal daripada buku, tetapi dihayati dan dijelmakan dalam kehidupan seharian.

Contoh remaja yang berjiwa merdeka sangat jelas pada zaman Rasulullah. Remaja seperti Ali bin Abi Talib serta Aisyah binti Abu Bakar faham mereka diciptakan Allah dan akan kembali semula kepada-Nya.






Mereka juga mengerti dengan sebenar-benarnya hidup di dunia yang singkat ini harus digunakan untuk menjadi hamba yang taat kepada Allah dan berusaha mengembalikan dunia dalam ketaatan kepada hakimiyah Allah.

Remaja berjiwa merdeka juga tidak pernah ketinggalan daripada memahami sejarah dan mengambil pengajaran daripadanya.

Mereka berusaha menekuni iktibar daripada kegemilangan dan keruntuhan tamadun manusia sepanjang sejarah. Mereka memahami bahawa sepanjang sejarah manusia, kebenaran tidak akan pernah lapuk ditelan zaman. Kebenaran akan tetap menang dan menyerlah! Dengan kefahaman inilah, mereka benar-benar kenal siapa diri dan betapa tingginya nilai diri mereka apabila menjadi remaja berusaha memenuhi tujuan hidup.

Kedua, berbekalkan kefahaman jati diri sebenar, jiwa remaja merdeka akan memperoleh lebih kekuatan daripada kemerdekaannya kerana dia memahami dirinya hanya perlu tunduk kepada Penciptanya. Dasar hidupnya adalah dua kalimah syahadah yang difahami implikasinya dengan sepenuh jiwanya.

Tuntutan kalimah syahadah akan memberikan lonjakan hebat yang mampu menolak segala kesetiaan dan ketaatan kepada selain dari-Nya.

Walaupun 50 tahun Malaysia merdeka, remaja menemui kemerdekaan jiwa mampu membawa dirinya keluar daripada belenggu ketaatan kepada makhluk menuju kesetiaan hanya kepada Pencipta. Hidup dan matinya, seluruhnya diasaskan secara jelas kepada paksi ini. Seluruh denyutan nadi dan degup jantungnya berlaku dengan kesedaran bahawa inilah erti kemerdekaan sebenar!

Ketiga, jiwa merdeka juga yakin dengan kewujudan dan kebenaran hari pembalasan. Remaja berjiwa merdeka memahami bahawa kematian itu pasti.

Setiap yang hidup pasti akan menemui kematian dan hanya Allah yang mengetahui bilakah ajal setiap makhluk-Nya. Firman Allah: "Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, sekalipun kamu berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh...." (An-Nisa': 78).

Bertitik tolak daripada kepercayaan yang kuat inilah, remaja berjiwa merdeka sentiasa memperhatikan tingkah lakunya agar menjadi modal paling strategik untuk manfaat kehidupan selepas mati. Jika terjatuh dalam lubang kealpaan dan kelalaian, remaja berjiwa merdeka akan bangkit kembali menebus kesalahannya dan tidak akan mengulanginya.

Keempat, kesannya, lahir remaja merdeka yang sentiasa berlumba-lumba untuk menjadikan seluruh hidupnya bermakna. Tidak ada satu detik pun yang akan diizin untuk dibazirkan ke jalan tidak berguna.

Begitulah hebatnya jiwa remaja yang merdeka. Mereka menyedari bahawa hidup di dunia ini hanya sekali, maka sebaik-baiknya mereka harus hidup dengan penuh erti.

Apabila dipanggil kembali, remaja berjiwa merdeka tersenyum bangga membawa bekal bersinar untuk dipersembahkan kepada Tuhannya. Firman Allah: "Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya. Masuklah ke dalam barisan hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku" (Al-Fajr: 27-30).

Mereka puas kerana memanfaatkan anugerah kehidupan di dunia sebagai manusia yang menjalankan amanahnya, bukan robot yang sekadar mengulangi rutin kehidupannya tanpa mengetahui tujuan hidupnya.

Remaja berjiwa merdeka sedar dan faham bahawa berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran bukanlah tujuan akhir hidupnya.

Mereka tidak terperangkap dalam kerugian menagih seluruh masa mereka hanya untuk mengisi maklumat di minda dan mendapatkan makanan untuk survival fizikal.

Mereka tidak akan membiarkan hati kecut dan gersang kerana perangkap ini. Mereka tidak akan tertekan dengan himpitan beban pelajaran, tetapi rasa bertanggungjawab untuk menimba ilmu sebanyak mungkin untuk memajukan diri dan ummah.

Kelima, jiwa remaja merdeka adalah jiwa sentiasa memperjuangkan kebenaran. Kisah interaksi manusia dan kebenaran sepanjang sejarah membentangkan kepada kita pelbagai jenis episod. Ada yang untung dan ada rugi.

Remaja berjiwa merdeka termasuk dalam golongan mereka yang untung. Mengapa? Kerana jiwa merdeka sentiasa mencari kebenaran, tidak menolaknya, berusaha memperjuangkannya dan menyokongnya dengan sepenuh jiwa dan sepanjang hayatnya.

Hidup dan mati dengan asas kebenaran itu adalah tanggungjawab. Ia bukan pilihan, tapi ia anugerah. Yang pentingnya merdeka pada jiwa dan bukan hanya pada fizikal.

Pernahkah kita terfikir mengapa ikan hidup di laut yang masin tidak terasa masin, tetapi ikan masin yang disaluti garam terasa sangat masin? Kerana bezanya ikan di laut hidup, tetapi ikan masin mati.

Begitulah jiwa manusia. Jiwa yang hidup tidak akan terpengaruh dengan anasir buruk yang sentiasa cuba untuk dipengaruhi tetapi jiwa mati mudah sekali terjebak dengan apa juga anasir buruk yang datang kepadanya.

Semoga kemerdekaan kita terus berkekalan sebagai umat yang salih dan diredai Allah. Kita isi makna kemerdekaan negara dengan akhlak terpuji, bukan merosakkan erti kemerdekaan itu sendiri.

Penulis adalah Pelajar Sarjana Perbandingan Agama, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa dengan kerjasama Wanita JIM

Saturday, August 18, 2007

Syaaban masa paling sesuai muhasabah diri

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

REJAB sudah berlalu. Kini Syaaban menjelang. Lambaian Ramadan sebulan lagi. Kita belum terlambat untuk menceriakan hidup dengan keberkatan Syaaban. Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili ra, berkata: Rasulullah bersabda: "Apabila masuk bulan Syaaban, (cerialah) dan sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."

Kita munajat dan berdoa seperti doa Rasulullah ketika masuknya Rejab:"Allhuma Bariklana fi rajab wa syaaban wa balliqhna Ramadan, bermaksud :"Ya Allah Ya Tuhan kami, anugerahkanlah keberkatan untuk kami pada Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami Ya Allah hingga Ramadan (yakni panjangkan umur kami Ya Allah sehingga kami dapat bertemu dengan Ramadan.



Inilah doa tiga serangkai yang memadukan kemuliaan ketiga-tiga bulan yang sangat berkat ini. Tiga bulan inilah bulan medan perjuangan pejuang untuk membina jati diri, membentuk sahsiah dan memupuk kebersihan hati.

Selari dengan erti Syaaban iaitu berpecah-pecah atau berpuak-puak. Pada zaman Jahiliyah, masyarakat Quraisy terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.



Rasulullah mengekalkan nama Syaaban sehinggalah sekarang. Air adalah bekalan dan kehidupan bagi pejuang. Mengapa pentingnya kita mengenang pejuang dan menyalakan semangat perjuangan? Perjuangan kita dalam hidup ini adalah untuk kemerdekaan. Merdeka jiwa. Merdeka daripada segala bentuk perhambaan manusia kepada manusia.

Lebih 50 tahun lalu pejuang berjaya membawa negara kita keluar daripada belenggu penjajahan. Penjajahan tanah air, jiwa, rasa dan minda.

Bayangkan dan rasakan, mereka berjuang membela negara ini bukan untuk hidup mereka, bukan untuk keluarga mereka, bukan pula untuk hari meriah itu. Mereka berjuang untuk masa depan anak cucu dan bangsa ini. Mereka berjuang untuk kita, yang hidup saat ini, juga untuk anak cucu.

Bayangkan dan rasakan apakah pejuang akan senang melihat penjajah British dan Jepun serta pengkhianat Komunis Bintang Tiga menghina maruah umat?

Apakah pejuang akan senang melihat maraknya rasuah dan salah guna kuasa di kalangan beberapa pemimpin dan pihak bertanggungjawab? Adakah pejuang rela membiarkan rakyat bergelumang dengan dadah, judi, jenayah rogol, seks rambang dan syak wasangka kaum dan agama? Adakah pejuang boleh goyang kaki melihat umat hanyut dalam budaya hedonisme melampau sehingga tidak peka dengan budaya ilmu dan intelektual?

Kita perlu membuat pejuang bangga dan senang, dengan membangun negara ini dengan hati, bersih jiwa dan minda, jujur, bertanggung jawab, disiplin, kerjasama, adil, wawasan dan prihatin. Mari membuat bangsa ini dihormati dan disegani di mata bangsa lain di dunia.

Sempena Syaaban kita perlu mengasah dan memupuk jiwa pejuang melalui amalan membangkitkan semangat, memupuk kesucian sekali gus mengumpul pahala. Jiwa pejuang adalah jiwa menghayati makna keinsafan, kesusahan dan penderitaan.

Firman Allah bermaksud: "Dan orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang yang benar (imannya) dan mereka itulah orang yang bertakwa" – (Surah Al-Baqarah: ayat 177).

Antara perkara yang disyariatkan pada Syaaban ialah menjelaskan hutang puasa yang tertinggal sebelum ini. Syaaban bulan melangsai hutang. Kini masanya qada puasa bagi sesetengah kita yang tertinggal puasanya pada Ramadan lalu atas sebab keuzuran dibenarkan.

Contohnya kerana sakit, musafir dan menyusukan anak. Kita tidak boleh menundanya hingga Ramadan berikutnya kerana kita akan didenda membayar kafarat ke atas setiap hari ditinggalkan.

Budaya bertangguh menggantikan puasa ini bukan baru bagi kita tetapi sudah menjadi sebati dalam kehidupan umat Islam hari ini. Ini bukan amalan pejuang. Firman Allah bermaksud: "Dan sekali-kali, Tuhanmu tidak lalai daripada apa yang kamu kerjakan". (Surah Hud, ayat 123). Hikmah diperintahkan untuk membanyakkan puasa pada Syaaban untuk membuat persediaan mental dan fizikal, melatih diri membiasakan berpuasa pada Ramadan nanti.

Kita disunatkan membanyakkan amalan puasa sepanjang Syaaban bukan hanya pada malam Nisfu Syaaban saja. Rasulullah selalu melakukannya. Dalam kitab Shahih Bukhari dan Muslim ada hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah, dia berkata: "Aku belum pernah melihat Rasulullah menyempurnakan puasa selama satu bulan penuh kecuali pada Ramadan dan aku belum pernah melihat beliau memperbanyakkan puasa (sunat) dalam satu bulan kecuali pada Syaaban".

Syaaban dikenali sebagai bulan muhasabah diri, iaitu memperbaiki dan melihat kembali watak diri sendiri. Memperbaiki sifat mazmumah seperti dengki, takbur dan sombong yang semakin runcing membekam dalam diri sebahagian daripada kita, umat Islam masa kini. Selain memperbaiki, digalakkan juga melihat kembali sifat mahmudah.

Adakah kita selama 11 bulan lalu sudah memperbanyakkan amalan baik seperti ikhlas, reda dan sedekah. Tidak cukup dengan solat, puasa dan zakat maka kita murnikan dengan ikhlas dan reda.

Apalah maknanya solat yang banyak tetapi tidak ikhlas? Sering berpuasa tetapi turut mengamalkan lihat perkara yang 'syubhah'. Apalah ertinya setiap tahun kita mengerjakan haji tetapi riak mahu dilihat sebagai orang yang berada dan suka dipuji?

Dalam Syaaban kita digalakkan bertaubat, membanyakkan doa, menggandakan zikir dan berselawat kepada Rasulullah. Sabda Rasulullah: "Barang siapa yang mengagungkan Syaaban, bertakwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri daripada perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu daripada segala macam bencana dan penyakit."

Dalam kita beramal meraikan Syaaban, janganlah pula kita kaitkan dengan amalan bidaah tertentu yang tidak disyariatkan oleh Allah.



Artikel disediakan dengan kerjasama Wanita JIM dan penulis boleh dihubungi menerusi emel wanitajim0@yahoo.com

Saturday, August 11, 2007

Kemerdekaan peluang bentuk ummah cemerlang

Jendela Hikmah: Kemerdekaan peluang bentuk ummah cemerlang
Oleh Salwani Mohd Daud

BELAJAR sejarah untuk peperiksaan adalah satu kelaziman bagi pelajar. Adakah apa yang dipelajari itu berjaya meninggalkan kesan dalam kehidupan kita?

Sejarah penting dan sepatutnya diketahui serta dipelajari setiap individu tidak kira bidang apa diceburi. Pembentukan budaya, cara kerja dan pemikiran sesuatu kaum adalah hasil daripada kesan sejarah dan pembangunan atau perubahan selalunya mengambil kira latar belakang sejarah.



Banyak peristiwa perjuangan kemerdekaan tidak ditulis dengan tepat menyebabkan sesetengah pejuang diketepi dan dilupakan walaupun mereka menyabung nyawa mengharungi perjuangan kemerdekaan. Fakta sebenar perjuangan tidak diselidiki dan hasilnya ramai masih berpegang kepada bahan sejarah tidak tepat.

Alhamdulillah kisah perjuangan Rosli Dhoby, Morsidi Sidek, Awang Ramli Matsaruddin dan Bujang Suntong yang dihukum gantung sampai mati kerana membunuh Gabenor British kedua, Duncan Stewart dilihat semula.



Pejuang kemerdekaan Sarawak ini dianggap pemberontak apabila mereka terbabit dalam pembunuhan Gabenor Duncan Stewart, walhal merekalah yang sanggup bergadai nyawa memerdekakan Sarawak.

Dengan sebab itu, Kerajaan Sarawak menggali semula kubur tanpa nesan wira-wira ini daripada Penjara Pusat Kuching dan dipindahkan ke Sibu dengan penuh penghormatan pada 2 Mac 1996, iaitu genap 46 tahun selepas Rosli Dhoby dihukum gantung.

Mungkinkah masih ada lagi fakta sejarah kemerdekaan yang tidak tepat dan terus dibaca masyarakat kita di Malaysia? Alangkah baiknya, selepas 50 tahun merdeka kita dapat menulis semula sejarah perjuangan Malaysia lebih tepat untuk dijadikan bahan buku teks di sekolah dan menjadi bahan kajian di universiti.

Sejarah Islam juga membuktikan kedatangan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasulullah menukar kehidupan kaum Arab jahiliah yang suka mengamalkan budaya hidup penuh kecelaan, kezaliman, penindasan, dan amalan yang berpaksi kepada hawa nafsu.

Sejarah membuktikan orang yang menerima pendidikan daripada Rasulullah SAW (juga dikenali sebagai generasi al-Quran) berubah daripada peribadi tidak mulia kepada peribadi yang mampu membuat perubahan besar.

Selepas kewafatan Rasulullah SAW, kerajaan Islam berkembang sejauh India di sebelah timur, Lautan Atlantik sebelah barat, Laut Karpia sebelah utara dan sampai ke Sudan sebelah selatan iaitu daripada pemerintahan Khalifah Abu Bakar hingga berakhirnya kerajaan Bani Umaiyyah.

Lama-kelamaan umat Islam berpecah dan ada banyak kerajaan Islam lain yang muncul. Bagaimanapun, kemunculan kerajaan Islam seperti Kerajaan Umaiyyah, kerajaan Abbasiyyah, Kerajaan Turki Seljuk, Kerajaan Turki Uthmaniyyah, Empayar Moghul India dan Kesultanan Melaka menjadi antara empayar terkuat dan terbesar di dunia.





Kemerdekaan dibawa Nabi Muhammad SAW membebaskan umat Islam daripada jahiliah kepada Islam. Kemerdekaan yang membebaskan manusia daripada ketakutan kaum yang zalim dan memberi motivasi kepada umat Islam mewujudkan tamadun cemerlang dan gemilang.

Inilah disimpulkan Rab’ie bin Amir apabila beliau diutuskan Saad bin Abi Waqqas kepada Rustam, ketua tentera Parsi ketika peperangan Qadisiah pada 14 Hijrah.

Rab’ie bin Amir mengatakan “Kami diutuskan Allah untuk mengeluarkan sesiapa yang mahu, daripada menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah. Daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat. Daripada penindasan agama (yang sesat) kepada keadilan Islam.”

Sesudah 50 tahun Malaysia bebas daripada pemerintahan British, sudah sampai saatnya kita mempunyai satu bangsa yang mempunyai kekuatan tersendiri yang mampu mengembalikan tamadun Islam gemilang yang pernah terbentuk pada satu ketika dulu.

Pemikiran yang bebas daripada cengkaman jajahan perlu ditingkatkan supaya masyarakat yang mempunyai minda kreatif, minat mengkaji dan menyelidik, seterusnya mahu melakukan perubahan bagi menepis tanggapan dunia kepada masyarakat Islam yang dikatakan lemah, malas, kurang pandai dan tidak berdisiplin.

Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, pada majlis bersempena memperingati sumbangan Allahyarham Profesor Datuk Dr Syed Husin Al-Atas pada 31 Julai 2007, menjelaskan Al-Atas menekankan kebebasan minda dan nilai dalam pembentukan satu masyarakat Malaysia yang tertib.

Dalam tulisan Syed Husin yang banyak menumpukan pada gejala rasuah yang menular dalam bangsa Malaysia dan boleh menghalang pembangunan masyarakat yang berintegriti. Pemimpin yang bermoral patut diutamakan dan mereka yang terbukti mempunyai rekod rasuah sepatutnya tidak berada dalam susunan pentadbiran negara. Kini saatnya kita meletakkan mereka yang bermoral dan mampu membangunkan masyarakat Malaysia supaya negara yang gemilang, terbilang dan cemerlang dicapai.

Prof Madya Dr Salwani Mohd Daud ialah pensyarah Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur dan boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

Friday, August 03, 2007

Akidah, akhlak baik wujudkan kebahagiaan rumah tangga

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

SEMUA mendambakan rumah yang aman damai ibarat syurga tanpa gangguan dan ketakutan. Segala kegembiraan, kebahagiaan, ketenangan, suka dan ceria terangkum dalamnya. Hal ini dilukiskan dalam sebuah harapan, ‘Rumahku Syurgaku’.

Syurga tidak disediakan Allah untuk syaitan, tetapi disediakan untuk orang beriman, yang sentiasa menyucikan dirinya dan membersihkan jiwanya dengan taat kepada Allah.



Pada awal penciptaannya, iblis bapa syaitan tinggal dalam syurga. Disebabakan sikap iblis yang sombong dan bongkak, maka Allah melaknat dan menghalaunya dari syurga berdasarkan firman-Nya bermaksud: “Keluarlah kamu dari syurga itu sebagai orang terhina lagi terusir. Sesungguhnya barang siapa di antara mereka (manusia) mengikuti kamu, benar-benar Aku akan mengisi neraka Jahanam dengan kamu semuanya.” (Surah al-A'raaf, ayat 18)

Dalam kitab Buyut laa tadkhuluha asy-syayathin (Rumah yang tidak dimasuki syaitan) karangan ulama Asia Barat, Ahmad As-Sayim, menerangkan ada dua kriteria penyebab rumah tidak akan ditembusi syaitan dan tidak akan dirasuk jin iblis.



Kriteria pertama kerana ibadat diamalkan dan aqidah dipegang orang yang berada dalam rumah itu, manakala kedua, kerana akhlak dan perilaku penghuninya. Penghuni rumah itu terdiri daripada orang yang sentiasa menjaga akhlak, kelakuan dan perilaku ketika berinteraksi sesama anggota keluarga, rakan taulan serta jiran tetangga.

Ciri rumah mereka yang menjaga ibadat:

# Penghuni rumah yang sentiasa menyucikan dirinya dan sentiasa ingat kepada Allah, mereka menjaga kesucian badan, membersihkan diri selepas buang air besar atau kecil dengan cara yang betul, tidak membuang air besar di dalam air.

Kebersihan diri menjadi budaya dan sebagai ibadat dalam bentuk mandi kerana hadas besar seperti mandi junub, haid dan nifas, menggosok gigi dengan siwak, memotong kuku, mencukur bulu, merapikan janggut dan lain-lain.

Mereka juga menjaga kebersihan batin. Hatinya suci daripada dendam dan hasad dengki. Lidahnya dijaga supaya tidak menyakiti orang lain serta tidak menuturkan kata kotor dan tidak berfaedah. Fikiran dan lidahnya hanya mengingat dan menyebut Allah sepanjang waktu.

Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyintai orang yang bertaubat dan menyukai orang yang menyucikan diri?” (Surah al-Baqarah, ayat 222)

# Rumah dipenuhi alunan bacaan al-Quran dan zikrullah. Orang yang sentiasa rukuk dan sujud kepada Allah perumpamaan mereka seperti digambarkan dalam firman Allah bermaksud: “Mereka itu ialah : Orang yang bertaubat, beribadat, memuji Allah, mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, sujud, menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada kejahatan, serta menjaga batas-batas hukum Allah dan gembirakan orang yang beriman (yang bersifat demikian).” (Surah at-Taubah, ayat 112)

# Rumah yang penghuninya sentiasa bersikap benar, jujur dan memenuhi janji.

# Rumah yang penghuninya sentiasa menjaga punca pemakanan dan hanya mengambil yang halal saja. Makanan halal dari segi penyediaannya menurut syariat, tidak diambil daripada harta anak yatim, bukan hasil rampasan, penganiayaan, penipuan, bukan hasil rasuah dan bukan hasil riba.

# Rumah yang penghuninya sentiasa menjaga dan menghubungkan tali silaturahim. Rumah yang dipenuhi kecintaan, kasih sayang, kelembutan, tolak ansur, sabar adalah orang yang menjaga silaturahim. Menghubungkan silaturahim wajib mendapat pahala dan memutuskannya haram dan berdosa.

# Rumah yang penghuninya sentiasa menjaga adab dan berbakti kepada kedua orang tuanya. Mereka menyayangi kedua ibu bapanya, tidak derhaka kepada keduanya, menghormati keduanya, mendengar nasihat mereka dan bermesyuarat dalam sebarang keputusan yang akan diambil. Apabila ibu bapa sudah tua, berikan perhatian terhadap diri dan emosi, kesihatan, kewangan dan apa juga keperluan mereka.

# Rumah yang penghuninya terdiri daripada pasangan yang salih dan salihah, saling faham memahami, bekerjasama serta bertolak ansur.

# Rumah yang penghuninya melaksanakan hak dan kewajipannya. Suami dan isteri melaksanakan tanggungjawab dan menunaikan hak masing masing. Bukan suami curang dan isteri derhaka.

Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Wanita JIM dan boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com