Saturday, April 29, 2006

Guna keistimewaan diri jika mahu jadi manusia unggul

Jendela hikmah: Guna keistimewaan diri jika mahu jadi manusia unggul
Oleh Mohammad Abdul Hamid

Kelebihan akademik bukan ukuran untuk cipta kejayaan


SETIAP individu itu unik kerana masing-masing mempunyai keistimewaan tersendiri. Namun, mungkin ramai yang tidak menyedari keistimewaan yang ada pada diri mereka.

Hasilnya, ramai yang tidak dapat mengembangkan potensi diri dengan sebaik mungkin.

Ini tentunya bukan kesilapan individu itu semata-mata, sebaliknya bergantung kepada pelbagai faktor termasuklah persekitaran, latar belakang pendidikan dan dorongan keluarga.

Keunikan seseorang individu adalah manifestasi kebesaran Allah SWT. Walaupun penduduk dunia hari ini sudah melebihi lima bilion, tetapi tidak ada seorang pun yang serupa.

Malah, masing-masing mempunyai keunikan dan keistimewaan yang tersendiri dari sudut perwatakan, kebolehan, sifat fizikal dan banyak lagi. Ia mengingatkan kita betapa kerdilnya manusia apabila dibandingkan dengan Penciptanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi kamu ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Dalam banyak perkara, kita dinilai berdasarkan pandangan dan piawaian yang diletakkan masyarakat dan kebiasaannya berkait rapat dengan pandangan dan piawaian yang popular di kalangan mereka.

Bagaimanapun, ia tidak semestinya yang terbaik. Mungkin inilah yang diistilahkan sebagai pandangan majoriti menjadi kayu ukur dan ikutan ramai.

Dengan kata lain, individu di dalam masyarakat menerima tekanan secara halus untuk melakukan sesuatu yang diterima oleh majoriti anggota masyarakat.

Pencapai akademik contohnya, sering menjadi ukuran kecemerlangan seseorang pelajar. Pelajar yang cemerlang akademiknya dikategorikan sebagai manusia istimewa.

Lantaran itu, ‘keistimewaan-keistimewaan’ tertentu ditawarkan kepada pelajar berkenaan seperti hadiah, biasiswa atau pun tempat di universiti terkemuka.

Sebaliknya, ramai yang beranggapan, pelajar yang lemah pencapaian akademiknya adalah pelajar yang tidak mempunyai masa depan. Mereka ini dikategorikan dan sering dilabelkan sebagai golongan yang ‘tercicir’.

Sejarah membuktikan, tidak sedikit manusia yang tergolong dari kalangan orang yang tercicir tetapi kemudiannya dianggap sebagai manusia berjaya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Microsoft Corporation, Bill Gates, adalah pelajar yang tercicir dari Universiti Harvard tetapi kemudiannya menjadi ahli perniagaan sangat berjaya sehingga dimartabatkan sebagai orang yang paling kaya di dunia.

Kelemahan dari sudut akademik bukanlah penghujung segalanya, begitu juga kelemahan sudut fizikal, kemahiran atau apa juga, bukan penghalang untuk seseorang menempa kejayaan.

Banyak yang kita boleh pelajari daripada kisah Nabi Musa. Walaupun mempunyai kelemahan dari sudut kelancaran percakapan, tetapi baginda mampu berhadapan dengan pemimpin tertinggi.

Baginda mampu menyatakan kemungkaran dan kezaliman yang dilakukan oleh pihak pemerintah kerajaan Mesir ketika itu (Firaun).

Bahkan, Nabi Musa berhadapan dengan seorang manusia yang banyak berjasa kepada baginda kerana telah memelihara baginda di istananya sejak bayi lagi.

Inilah keunikan yang amat istimewa di dalam bentuk keberanian dan keperibadian terpuji walaupun dengan kelemahan yang ada pada diri baginda.

Ringkasnya, Nabi Musa tidak menjadikan kelemahan yang ada pada dirinya sebagai alasan untuk tidak menyahut cabaran dan melaksanakan tanggungjawabnya.

Bukan sedikit kisah yang kita dengar berkaitan dengan orang yang selalunya disebut sebagai orang yang berjaya tetapi pada hakikat, gagal di dalam hidupnya.

Tentunya kisah umat terdahulu boleh dikaitkan dan dijadikan pengajaran di dalam perkara ini.

Kaum 'Ad terkenal sebagai kaum yang mempunyai kepakaran tinggi dalam bidang seni bina sehingga berjaya menghasilkan bangunan cantik tetapi sayangnya, mereka dari golongan manusia yang lupa diri sehingga di laknat dan diturunkan bala oleh Allah SWT.

Begitu juga tamadun Mesir kuno yang berjaya menghasilkan seni bina unik dan dikagumi sehingga hari ini tetapi mereka tergolong dari kalangan manusia yang tidak berguna.

Kisah ini membuktikan bahawa ketinggian ilmu, kecerdasan akal dan kepakaran semata-mata bukanlah penentu kejayaan seseorang individu atau pun sesebuah tamadun.

Banyak lagi kisah sepanjang zaman yang boleh kita ambil iktibar dan pengajaran daripadanya.

Pokok pangkalnya, setiap individu boleh diasah potensinya untuk menjadi orang yang berjaya.

Dan tentunya, golongan yang berjaya pada hakikat sebenarnya adalah manusia yang mempunyai asas keimanan utuh, dapat menghidupkan suasana masyarakat dan negara aman damai serta bersih dari keruntuhan akhlak.

Firman Allah yang bermaksud: “Jika sekiranya penduduk negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Surah al-A'raf, ayat 96) .

Untuk mencungkil potensi setiap individu, peranan pendidik seperti ibu bapa, guru, ahli keluarga, masyarakat sememangnya penting.

Zaman menumpukan usaha pendidikan ke arah pencapaian akademik saja sudah berlalu sebaliknya, pendidikan yang seimbang perlu menjadi formula untuk melahirkan masyarakat yang berjaya.

Pada hari ini, di sekolah atau institusi pendidikan, banyak kegiatan kokurikulum disediakan untuk menghasilkan pelajar yang serba boleh. Namun, usaha ini tidak boleh berhenti di situ saja.

Semua maklum, peranan yang dimainkan sekolah dan institusi pendidikan mempunyai had dan kekangan tertentu.

Suasana dan persekitaran yang wujud di sekolah kadangkala bukanlah yang terbaik untuk semua individu.

Untuk itu, bentuk pendidikan yang diberikan di luar sekolah tidak kurang pentingnya, malah mungkin lebih penting daripada apa yang dapat ditawarkan di sekolah.

Tidak sedikit pelajar yang kurang berminat dan bosan dengan pendidikan formal di dalam kelas.

Sebaliknya, jika diberi peluang untuk mengasah bakat atau kemahiran di dalam bidang tertentu, mereka dapat memberikan tumpuan yang baik malah dapat menghasilkan kerja cemerlang.

Dulu, kayu pengukur paling penting yang digunakan untuk menilai potensi seseorang kanak-kanak atau individu kecerdasan akal mereka.

Tetapi kini, ramai percaya kecerdasan akal (IQ) semata-mata bukanlah penentu kejayaan seseorang di dalam hidup tetapi penekanan diberi kepada emosi (EQ).

Keupayaan seseorang mengenal dirinya adalah kemahiran yang sangat penting dan istimewa kerana dengan keupayaan ini, seseorang dapat mengawal emosi dalam apa juga keadaan.

Keupayaan ini tentunya tidak datang dengan sendiri tanpa kekuatan dalaman yang utuh yang dibina melalui sistem pendidikan seimbang.

Hari ini, kebanyakan syarikat yang mencari pekerja baru tidak lagi bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata sebaliknya melihat kepada kemahiran komunikasi, kreativiti dan pergaulan.

Malah kemahiran inilah yang menjadi faktor penentu kejayaan seseorang dalam kerjaya, di samping ilmu yang ada padanya.

Begitu juga di luar konteks kerjaya, formula yang sama boleh digunakan di dalam kehidupan seharian dan hidup bermasyarakat.

Pendeknya, setiap individu boleh memanfaatkan segala kurniaan Tuhan kepadanya dan menempatkan dirinya sebagai aset yang berharga kepada masyarakat.

Semoga kita menjadi jauhari yang mengenal manikam dalam diri kita seterusnya menjadikan kita seorang manusia yang berguna kepada diri, majikan dan orang lain. Selamat Hari Buruh!

# Penulis ialah seorang jurutera dan boleh dihubungi di emel wanitajim@jim.org.my

INTI PATI:

# Manusia mempunyai keunikan dan keistimewaan yang tersendiri dari sudut perwatakan.

# Sejarah membuktikan, ramai manusia yang tergolong dari kalangan orang yang tercicir tetapi kemudiannya dianggap sebagai manusia berjaya.

# Setiap individu boleh diasah potensinya untuk berjaya.

# Ramai percaya kecerdasan akal (IQ) semata-mata bukanlah penentu kejayaan seseorang di dalam hidup tetapi penekanan diberi kepada emosi (EQ).

Friday, April 07, 2006

Islam tingkat martabat, hak perempuan bersuara

Jendela Hikmah: Islam tingkat martabat, hak perempuan bersuara

PAGI 8 Mac 2006, bilik persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dipenuhi oleh perwakilan wanita pelbagai bangsa seluruh dunia.

Sehari sebelumnya, Pengerusi Jawatankuasa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di PBB, Jackie Shapiro meminta semua wanita hadir dengan berpakaian hitam. Ini untuk menandakan saat berkabungnya wanita kerana sasaran mendapat kesamarataan gender (gender parity) 50-50 lelaki dan wanita di semua sektor menjelang 2005 masih belum tercapai. Lebih malang, apabila tidak ada seorang pun wanita tersenarai sebagai calon pengganti Kofi Annan sebagai Setiausaha Agung PBB yang akan bersara tahun ini.

Dengan tema Peranan Wanita Dalam Proses Membuat Keputusan, majlis sambutan Hari Wanita Antarabangsa dimulakan tepat jam 9 pagi dengan perutusan Annan. Beliau memulakan ucapannya dengan mengungkapkan kembali komitmen pemimpin dunia dalam Sidang Kemuncak Dunia 2005 yang menyatakan ‘kemajuan untuk wanita adalah kemajuan untuk semua.’

Kajian menunjukkan bahawa tiada polisi lebih berkesan untuk kemajuan di pelbagai bidang, selain dasar untuk memperkasakan wanita dan remaja puteri. Ini meliputi kemajuan untuk memperbaiki tahap kesihatan dan pemakanan, kadar kematian ibu dan bayi serta tahap pendidikan generasi akan datang, meningkatkan produktiviti ekonomi sehingga kepada pencegahan konflik dan penyelesaian konflik selepas ia berlaku.

Deklarasi Beijing yang dibuat lebih 10 tahun lalu, menyatakan ‘...pemerkasaan wanita dan pembabitan mereka secara sama rata di setiap bidang kehidupan termasuk terbabit sama dalam proses membuat keputusan adalah asas kepada pencapaian kesamarataan, kemajuan dan keselamatan’. Namun, ia masih jauh daripada sasaran untuk memastikan separuh daripada penduduk dunia menduduki tempat yang sepatutnya dalam menentukan hala tuju di peringkat antarabangsa.

Pada kadar sekarang di peringkat antarabangsa diunjurkan hanya pada 2025 akan mencapai 30 peratus wanita di Parlimen. Pada 2040, barulah tercapainya kesamarataan gender sebenar.

Malaysia bersama-sama negara Komanwel mensasarkan tidak kurang 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan menjelang 2005. Wanita Malaysia menunjukkan beberapa peningkatan seperti 9.6 peratus wanita menganggotai Dewan Rakyat pada 2004 berbanding 5.3 peratus pada 1990. Di Dewan Negara (32.3 peratus pada 2005 berbanding 18.2 peratus pada 1990 dan 19 peratus penjawat jawatan utama sektor awam pada 2005 berbanding hanya sembilan peratus pada 1997.

Sektor korporat keadaannya lebih menyedihkan kerana hanya 10 peratus dari ahli lembaga pengarah di Bursa Saham Kuala Lumpur adalah wanita. Di Sweden, misalnya, berjaya mencapai sasaran 40 peratus, lembaga pengarah syarikat mesti wanita.

Angka itu masih jauh daripada sasaran. Perwakilan wanita yang rendah bermakna keperluan wanita tidak akan diambil kira sepenuhnya dalam penggubalan dasar di pelbagai sektor. Akhirnya, merencatkan perkembangan dan kemajuan wanita secara amnya.

Persoalannya apakah matlamat dan ukuran sebenar pemerkasaan wanita? Adakah kayu ukurannya hanya kesamarataan gender dari sudut bilangan atau hanya dilihat dari sudut kebolehan wanita untuk menguasai semua bidang yang dikuasai lelaki? Adakah kita perlu bersaing dan bertanding dengan lelaki untuk membuktikan bahawa kita telah diperkasakan?

Pengalaman menunjukkan ada kalanya walaupun wanita berjaya menduduki tempat pembuat keputusan seperti melalui pemberian kuota. Namun, jika mereka tidak disediakan untuk benar-benar berkelayakan dan berkemahiran, matlamat asal bagi meningkatkan martabat wanita tidak akan tercapai. Wanita akan terus dieksploitasi dan didiskriminasikan walaupun ketika ramai mereka mempunyai kedudukan.

Bagi wanita yang menjadikan Islam sebagai panduan dan cara hidup lengkap adalah jelas bahawa Allah menciptakan wanita dan lelaki dengan kedudukan yang sama di sisi Allah. Iaitu sebagai khalifah yang ditugaskan untuk menegakkan agama Allah dan mentadbir dunia ini dengannya.

Islam melihat peranan lelaki dan wanita sebagai saling lengkap melengkapi dalam pembinaan keluarga dan masyarakat. Perkara ini disebut dalam firman-Nya bermaksud: “Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat baik, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah, ayat 71)

Dari sudut pemerkasaan pula, Islam tidak mengiktiraf pemerkasaan wanita ke atas lelaki atau lelaki ke atas wanita. Sebaliknya, kuasa itu hanya milik Allah. Manusia diberikan hak kekuasaan dan tanggungjawab berkaitan seperti ditetapkan Allah untuk menjalankan urusan mereka di dunia.

Setiap bayi lelaki dan perempuan lahir dengan sepenuh hak yang diberikan oleh Allah kepadanya. Maka, dalam konteks wanita hari ini yang dinafikan hak mereka oleh orang lelaki dan masyarakat harus berjuang untuk mendapatkannya kembali.

Dengan erti kata lain, perjuangan wanita Islam hari ini untuk mengembalikan hak dan martabat semula jadi mereka yang dianugerahkan oleh Allah kepada mereka ke tempat yang sebenar.

Kejelasan ini amat penting supaya kita tidak terikut-ikut dengan agenda golongan feminis yang keterlaluan pandangan mereka sehingga mewujudkan pertentangan di antara golongan lelaki dan wanita. Perjuangan yang berlandaskan logika akal dan emosi semata-mata, hanya akan memudaratkan wanita dalam masa jangka panjang.



Oleh Dr Hafidzah Mustakim

lPenulis ialah doktor Perubatan dan Timbalan Ketua Wanita JIM Pusat yang mengikuti persidangan Suruhanjaya Status Wanita PBB ke-50 baru-baru ini sebagai wakil NGO dari Malaysia.



Dari sudut individu wanita mestilah menyediakan diri untuk:

l Mempunyai kejelasan matlamat hidup dan fungsi serta peranan yang mesti dimainkan dalam pembangunan diri, keluarga dan masyarakat. Ini memerlukan penguasaan ilmu dan pembelajaran berterusan

l Sedia memikul tanggungjawab kepemimpinan untuk menjalankan amanah dalam apa juga bidang. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Setiap kamu adalah penggembala dan semua kamu bertanggungjawab ke atas yang digembalakannya... Wanita adalah penggembala (pemimpin) dalam rumah tangga suaminya dan bertanggungjawab atas pengurusannya.” (Hadis riwayat Bukhari).

Dalam konteks pembabitan dalam masyarakat, sejarah Islam sarat dengan contoh wanita silam, termasuk Saidatina Khadijah, isteri Rasulullah SAW yang menyumbang hebat dalam pelbagai bidang.

Untuk ini kemahiran asas seperti mengurus diri, kemahiran berinteraksi, komunikasi, mengurus kewangan selain kemahiran khusus yang lain mesti dipelajari.

l Menjalankan tanggungjawab dan mengetahui hak mereka seperti yang ditunjukkan dengan jelas oleh Allah dan Rasulullah SAW.

Tiba masanya untuk wanita mempunyai jati diri dan identiti sendiri dan tidak membiarkan diri mereka dieksploitasi mahupun didiskriminasikan oleh sesiapa pun.







Penting untuk wanita Islam menuntut supaya mereka dihargai di atas buah fikiran, kemahiran dan peranan mereka di dalam semua bidang. Mereka tidak seharusnya dilihat sebagai objek seks.