Saturday, August 27, 2005

Jendela Hikmah: Nabi Muhammad contoh ‘bapa kemerdekaan’ sebenar


Merdeka! Merdeka! Merdeka! Semua orang menggenggam tangan bersorak ria menyambut kemerdekaan negara ke-48 apabila jam berdetik 12 kali pada tengah malam 31 Ogos nanti. Cukupkah sekadar bertempik bangga, bersuka ria dan berpesta menyambutnya?
Hidup dalam cengkaman penjajah begitu memeritkan. Mereka bertindak sewenang-wenang, merampas hak dan tanah rakyat. Rakyat diperhambakan tanpa upah setimpal, tidak kurang didera. Apabila ada yang bersuara menuntut haknya akan menerima padah, tidak kurang disumbat dipenjara kerana disyaki melawan pemerintah atau dituduh mengumpul senjata untuk menjatuhkan mereka.

Itu antara senario kehidupan rakyat Malaysia yang terjajah 48 tahun lalu. Ia tidak terbayangkan oleh generasi masa kini yang hanya merasakan nikmatnya hidup di alam kemerdekaan. Kerana terlupa kepedihan hidup itu, generasi kini hilangnya rasa syukur. Akibatnya kita terjajah buat kali kedua - penjajahan minda dan budaya kerana hanyut dalam arus kesenangan.

Untuk mengingatkan generasi ini mengenai episod penjajahan, kita tidak perlu memaksa mereka untuk menonton filem sejarah mengenai penjajahan Inggeris dan Jepun. Kita perlukan cara baru untuk memancing minat mereka kepada ‘visi’ kemerdekaan. Mungkin baik mereka diingatkan dengan filem kisah benar terkini mengenai kepedihan dan kesengsaraan teman sebaya mereka, anak dan rakyat terjajah di Iraq, Palestin, Afghanisatan, Chechnya dan umat Islam di Amerika selepas peristiwa 11 September dan Britain selepas pengeboman 7 Julai lalu.

Rakyat Palestin dan Iraq menjalani hidup setiap hari dalam kesengsaraan. Mereka terpaksa menghadapi kebengisan dan kekejaman penjajah yang hanya menyapa dengan senjata penghancur dan kereta kebal yang sentiasa bersedia meruntuhkan rumah tempat mereka bernaung. Mereka hanya mampu meraung dipaksa berpisah dengan orang tuanya, tidak tahu entah bila akan bersua kembali.

Jadi, visi kemerdekaan yang bagaimana yang mesti kita miliki agar misi ‘kemerdekaan’ yang diusung dipertahankan kemurniannya?

Rasulullah SAW adalah ‘bapa kemerdekaan' yang sebenarnya. Baginda menentang tradisi bangsa Arab jahiliah dan memulakan budaya baru - hidup secara Islam! Baginda melakukan sebuah perubahan total dalam pemikiran, perasaan dan politik di tengah masyarakat tanpa kekerasan.

Setelah berlaku pergolakan pemikiran di kota Makkah yang luar biasa dan terus-menerus selama 13 tahun, yang api dan semangatnya dirasakan oleh seluruh bangsa Arab, Rasulullah akhirnya berhasil mendapatkan kekuasaan di Madinah. Selepas berkuasa di Madinah, Baginda melanjutkan proses perubahan hingga mampu mengubah wajah seluruh jazirah Arab daripada jahiliah menjadi Islam dalam tempoh hanya 10 tahun.

Di antara anak didik Rasulullah yang hebat ialah Rabi' bin Amir, Hudzaifah bin Mihshan dan Mughirah bin Syu'bah. Sebelum meletusnya Perang Qadisiyah mereka ditanya seorang demi seorang oleh Panglima Tentera Parsi, Rustum: "Apakah yang membuat kamu datang ke sini?" Masing-masing menjawab dengan jawapan sama: "Sesungguhnya Allah telah mengutus kami untuk memerdekakan (siapa saja yang mahu) daripada perhambaan manusia terhadap manusia kepada perhambaan manusia kepada kepada Allah yang Esa; daripada kesempitan dunia kepada keluasannya; dan daripada penyimpangan semua agama ke keadilan Islam."

Itulah visi kemerdekaan daripada generasi pewaris ‘perubahan’ sejati. Misi kemerdekaan mereka begitu luhur. Sudahkah kita membulatkan tekad dengan visi dan misi agung itu?

Allah mengingatkan sahabat nikmat kemenangan di Perang Badar, yang sebelumnya mereka dalam kehinaan dan lemah. Firman-Nya bermaksud: “ Sungguh Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu adalah (ketika itu) orang yang lemah. Kerana itu bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mensyukuri-Nya.” (Surah Ali Imran, ayat 123)

Cara mensyukuri nikmat kemerdekaan.

- Mensyukuri dengan kalbu
Ia adalah pengakuan bahawa nikmat kemerdekaan semata-mata berasal daripada Allah. Apabila ini diingkari, kita bimbang Allah akan mencabut nikmat-Nya dan menggantinya dengan azab. Firman berfirman: “Tidakkah kamu perhatikan orang yang telah menukar nikmat Allah dengan kekafiran dan menjatuhkan kaumnya ke lembah kebinasaan.” (Surah Ibrahim, ayat 28)

- Mensyukuri dengan lisan
Ia dalam bentuk bertahmid dan bertahlil kepada-Nya, serta berterima kasih dan menyebut jasa baik pejuang dan pahlawan. Tidak lupa mendoakan mereka, semoga amalnya diterima Allah.

Menyebut jasa baik juga sebahagian daripada syukur kepada Allah. Hal ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad bermaksud: “Orang yang tidak berterima kasih kepada manusia, bererti tidak bersyukur kepada Allah." (Hadis riwayat Abu Daud, disahihkan Ahmad Syakir).

- Mensyukuri dengan perbuatan.
Ia dalam bentuk sujud syukur saat nikmat kemerdekaan itu tiba. Setiap kita memperoleh nikmat dianjurkan bersujud. Perkara ini berdasarkan hadis Abu Bakar, katanya: “Adalah Rasulullah apabila datang kepadanya khabar gembira atau diberitakan, Baginda serta merta bersujud kerana bersyukur kepada Allah." (Hadis riwayat Abu Daud, disahihkan Al Bani).

Kita mestilah mengisi nikmat kemerdekaan dengan amalan yang disyariatkan Allah untuk mendapat keredaannya. Kita perlu sensitif dan jauhi perbuatan yang sering disaksikan pada hari menyambut kemerdekaan. Hiburan yang melampau sehingga pagi, pergaulan bebas bukan muhrim dan minuman yang memabukkan di tempat sambutan perayaan.

Orang yang mensyukuri nikmat Allah dengan berbuat maksiat kepada-Nya, diumpamakan tidak ubahnya seperti kaum yang dilaknat-Nya. Allah berfirman: “Katakanlah: "Siapakah yang dapat menyelamatkan kamu daripada bencana di darat dan di laut, yang kamu berdoa kepada-Nya dengan berendah diri dan dengan suara yang lembut, dengan mengatakan : "Sesungguhnya jika Dia menyelamatkan kami daripada bencana ini, tentulah kami menjadi orang yang bersyukur". Katakanlah: "Allah menyelamatkan kamu daripada bencana itu dan dari segala macam kesusahan kemudian kamu kembali menyekutukannya." (Surah al-An'am, ayat 63-64)

Saturday, August 20, 2005

Bertekad baiki prestasi jadikan kita manusia lebih cemerlang

Jendela Hikmah: Bertekad baiki prestasi jadikan kita manusia lebih cemerlang
Oleh Dr Suriyakhatun Osman

SAYA hanya melihat gelagat Zubir (bukan nama sebenar) yang bercakap tanpa henti. Matanya terkelip-kelip, tangannya menggigil dan suaranya cemas. Setelah habis bercakap dan terdiam, barulah saya mengambil giliran membuka mulut.

Saya bercakap dengan perlahan dan jelas: “Encik Zubir, saya tahu awak ingin sembuh terus, tanpa insomnia waktu malam, tidak mahu prestasi merudum dan tidak sakit lagi.

“Datang jumpa saya waktu petang supaya saya ada masa yang cukup untuk merancang rawatan komprehensif untuk menyembuhkan penyakit anda. Penyakit encik, tidak dapat dirawat dengan hanya pil.

“Saya perlu pembabitan dan kerjasama anda.”

Zubir, salah seorang pesakit saya yang menghadapi ‘tekanan’.

Wataknya terlalu sensitif kepada alam sekeliling, mudah cemas dan gelabah. Harga dirinya rendah dan hari demi hari produktivitinya menurun.

Zubir sekarang tidak seperti yang saya temuinya kali pertama lebih setahun lalu. Dia kini sudah naik pangkat dan mendapat kepercayaan majikan kerana ketekunan dan keyakinan diri. Namun, kerjayanya yang semakin mencabar ini memberikan tekanan dalam hidupnya. Tekanan ini mengubah sikapnya yang dulunya ceria menjadi mudah gelabah dan cepat risau. Jiwanya yang tenang bertukar menjadi tidak keruan.

Apakah punca perubahan yang begitu ketara kepada Zubir?

Dalam beberapa sesi rawatan, saya membiarkan dia meluahkan segala yang merisaukannya sehingga puas. Saya lakarkan di depannya sikap sikap negatifnya satu persatu yang mendatangkan masalah kepadanya.

Saya mencadangkan beberapa perubahan sikap yang perlu dibuat dengan cara latihan, doa dan zikir. Antara sikap Zubir yang mendatangkan tekanan:

# Risaukan perkara yang belum berlaku.

Jika dia mulakan kerja, takut kerja tidak boleh siap mengikut jadual. Kalau membuat satu kerja, dia fikirkan kerja lain yang belum dimulakan.

# Sering memikirkan perkara yang berlaku pada masa silam, sering sakit hati terhadap orang yang pada fikirannya telah melakukan perkara tidak baik terhadapnya. Setiap kali teringat, dia akan sedih dan sakit hati.

# Zubir sering tidak memberi tumpuan kepada tugas kerana dihantui perasaan tidak mampu membuat kerja secara menyeluruh (low self esteem).

# Apabila berdepan dengan orang lain, seribu satu perasaan negatif menghantui jiwanya. Perasaan tidak yakin, takut gagal dan risau tanpa sebab munasabah. Dia sentiasa berasakan semua orang di sekelilingnya berniat jahat terhadapnya dan kerana itu dia harus berwaspada.

Setelah mengetahui keadaan jiwa Zubir, saya berikan preskripsi rawatan rohani kepadanya.

# Doa Nabi Muhammad SAW berbunyi ‘Allahuma inni a'uzubika minal hammi wal hazan’ meminta Allah melindungi kita daripada risau atau sedih terhadap perkara yang akan datang. Begitu juga menyesal perkara yang sudah berlalu.

Kita perlu menghadirkan hati kepada tugas yang sedang dijalankan supaya pemikiran tertumpu sepenuhnya terhadapnya. Rancang sebelum memulakan tugas, supaya tahu bila masa akan melakukan kerja seterusnya. Mudah-mudahan perancangan yang realistik dan rapi akan menghindarkan daripada risaukan perkara yang belum dilakukan.

Amalkan doa ini setiap pagi dan petang serta setiap kali mendapati hati sedang memikirkan perkara yang akan datang atau pemikiran sedang melayang kepada perkara lepas yang dikesali.

# Kita perlu faham bahawa Allah akan meringan dan mempermudahkan segala yang dilakukan jika kita berserah kepada-Nya. Perasaan rendah harga diri timbul apabila kita merasakan diri ini seorang manusia kerdil, yang bertanggungjawab atas apa yang hendak dilakukan. Di sebaliknya jika faham bahawa segala sesuatu adalah pada tangan Allah, maka pergantungan kepada-Nya meringankan semua tugas dan tanggungjawab kita.

Nabi Musa ketika hendak berdepan dengan Firaun berdoa bermaksud: “Tuhanku, lapangkanlah dadaku dan permudahkanlah urusankanku.” Mungkin kita tidak mempunyai tugas begitu sukar, tetapi ia boleh menjadi doa kita. Kita yakin pertolongan Allah dalam menyelesaikan tugas yang hendak dilakukan. Maka, tidak ada tugas terlalu berat serta tidak perlu pada kurang keyakinan sebab yang meringan dan mencemerlangkan adalah pertolongan daripada Allah.

Alhamdulillah adalah ucapan setiap kali mampu menjalankan tugas dengan baik. Jika tidak, lihatlah di mana yang kita kurang berserah kepada Allah. Yakini bahawa tekad untuk terus membaiki prestasi akan berhasil dan menjadikan kita manusia lebih cemerlang.

# Memang manusia sekeliling kadang kala kasar, ada sifat dengki dan khianat. Begitu pun, jika kita baik sangka dengan manusia, betulkan persepsi dan setiap kali pandang seseorang yang ada masalah dengannya, tumpukan perhatian kepada kebaikan padanya. Insya-Allah ini yang akan terserlah dan bukan sifat negatif yang ada padanya.

Untuk menimbulkan baik sangka antara manusia, sentiasalah doakan rakan pejabat, majikan, pelanggan dan ahli keluarga kita.

PENULIS ialah doktor perubatan dan AJK Wanita IM Pusat serta boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com

INFO
Perubahan sikap adalah

# Daripada seorang yang fikirkan dirinya berkuasa atas diri sendiri kepada manusia yang sentiasa bergantung kepada Allah.

# Daripada seorang manusia yang sering memikirkan perkara negatif yang mungkin berlaku atau sudah berlalu kepada seorang manusia yang hadir hatinya kepada tugasan atau perkara yang ada di depan mata.

# Daripada seorang yang sering berburuk sangka terhadap manusia kepada seorang yang berbaik sangka.

Friday, August 12, 2005

Isteri solehah pasti pelihara 10 sifat

Isteri solehah pasti pelihara 10 sifat
Oleh Dr Hafidzah Mustakim


DALAM satu program wanita, seorang ibu berumur lewat usia 40-an berbual mesra sambil bertanya kepada saya: “Diam tak diam, saya dah nak dapat menantu lelaki. Along Hasanah akan berkahwin bulan depan, kita ni terlalu sibuk dengan kerjaya dan kehidupan, sehingga tidak perasan anak dah semakin besar dan akan berumah tangga.”

Saya membalas : “Kita perlu mengingat dan membekalkan nasihat yang pernah kita peroleh dulu daripada orang berpengalaman dan berilmu kepada mereka.

"Dulu pernah mendengar, pada masa mula-mula hendak kahwin. Tetapi, apa salahnya kita dengar untuk kesekian kalinya. Ia menjadi kata-kata hikmat dan pengajaran yang lebih bermakna. Kita dan ramai kawan masa muda-muda masih ingat nasihat itu.”

Perbualan saya dengan wanita itu mengingatkan kepada wasiat seorang ibu solehah pada zaman kegemilangan Islam.

Mari hayati pesanan isteri ‘Auf bin Muhlim Ashaibani kepada puterinya ketika hendak bernikah dengan al Haris bin Amr, raja negeri Kandah. Sewaktu utusan diraja hendak membawa pengantin untuk disampaikan kepada raja, ibunya berwasiat kepada anak perempuannya:

“Wahai anakku! Kalaulah wasiat ini untuk kesempurnaan adabmu, aku percaya kau telah mewarisi segala-galanya, tetapi ia sebagai peringatan untuk yang lalai dan pedoman kepada yang berakal.

Andai kata wanita tidak memerlukan suami kerana berasa cukup dengan kedua ibu bapanya, tentu ibumu adalah orang yang paling berasa cukup tanpa suami. Tetapi wanita diciptakan untuk lelaki dan lelaki diciptakan untuk mereka.

Wahai puteriku, Sesungguhnya engkau akan meninggalkan rumah tempat kamu dilahirkan dan kehidupan yang telah membesarkanmu untuk berpindah kepada seorang lelaki yang belum kamu kenal dan teman hidup yang baru. Kerana itu, jadilah 'budak' wanita baginya, tentu dia juga akan menjadi 'budak' bagimu serta menjadi pendampingmu yang setia.

Peliharalah sepuluh sifat ini terhadapnya, tentu ia akan menjadi perbendaharaan yang baik untukmu.

Pertama dan kedua, berkhidmat dengan rasa puas serta taat dengan baik kepadanya.

Ketiga dan keempat, memerhatikan tempat pandangan matanya dan bau yang diciumnya. Jangan sampai matanya memandang yang buruk daripadamu dan jangan sampai dia mencium kecuali yang harum daripadamu.

Kelima dan keenam, memerhatikan waktu tidur dan waktu makannya, kerana lapar yang berlarutan dan tidur yang terganggu dapat menimbulkan rasa marah.

Ketujuh dan kelapan, menjaga hartanya dan memelihara kehormatan serta keluarganya. Perkara pokok dalam masalah harta adalah membuat anggaran dan perkara pokok dalam keluarga adalah pengurusan yang baik.

Kesembilan dan kesepuluh, jangan membangkang perintahnya dan jangan membuka rahsianya. Apabila kamu tidak mentaati perintahnya, bererti kamu melukai hatinya. Apabila kamu membuka rahsianya kamu tidak akan aman daripada pengkhianatannya.

Kemudian janganlah kamu bergembira di hadapannya ketika dia bersedih atau bersedih di hadapannya ketika dia bergembira. Jadilah kamu orang yang sangat menghormatinya, tentu dia akan sangat memuliakanmu.

Jadilah kamu orang yang selalu sepakat dengannya, tentu dia akan sangat belas kasihan dan sayang kepadamu.

Ketahuilah, sesungguhnya kamu tidak akan dapat apa yang kamu inginkan sehingga kamu mendahulukan keredaannya daripada keredaanmu, dan mendahulukan kesenangannya daripada kesenanganmu, baik dalam hal yang kamu sukai atau yang kamu benci dan Allah akan memberkatimu.”

Nasihat di atas seharusnya diterima dengan beberapa asas penting:

l Suami yang dicari adalah suami yang beriman lagi taat kepada perintah Allah.

l Ketaatan kepada suami adalah wajib dengan syarat beliau tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat Allah.

l Begitulah hukum Allah, di sana sentiasa ada ‘dua bahagian muka syiling’. Kalau diperhati setiap nasihat di atas, perbuatan kita yang positif akan menghasilkan reaksi dan tindak balas positif juga dengan izin Allah.

Saya sering mengingatkan diri sendiri sebagai isteri dari muda hingga sekarang dan masih sangat mempercayai bahawa: "Kita hanya boleh mengubah diri sendiri. Percayalah apabila kita berubah, persekitaran dan orang di sekeliling juga akan berubah secara positif.”



Penulis ialah doktor perubatan persendirian dan AJK JIM Pusat

serta boleh dihubungi melalui wanitajim0@yahoo.com