Monday, April 20, 2009

Wanita Harus Manfaatkan Kebebasan Untuk Berdakwah

Wanita Harus Manfaatkan Kebebasan Untuk Berdakwah
Oleh: Prof Madya Dr Roohaida Othman
Hak Wanita Dalam Islam

Pada tahun ini, Maulidur Rasul telah disambut pada 9 Mac 2009. Sambutannya pada kali ini lebih istimewa kerana ia telah diraikan sehari selepas Hari Wanita Sedunia yang jatuh pada tanggal 8 Mac saban tahun. Sambutan Hari Wanita Sedunia telah dimulakan di Amerika Syarikat pada awal abad ke 20 bagi memperingati kejayaan-kejayaan yang telah dicapai dalam perjuangan golongan feminis mendapatkan hak yang saksama kepada wanita dalam bidang ekonomi, politik dan sosial. Namun, kedudukan dan hak yang sewajarnya bagi wanita dalam kesemua aspek kehidupan ini sebenarnya telah dijelaskan dalam Islam sejak 14 abad yang lalu. Ad-Deen yang agung ini tidak langsung memandang kepada jantina, warna kulit atau rupa paras dalam hal peribadatan dan ganjaran di akhirat. Semua penganut agama ini dinilai atas dasar pertimbangan yang sama iaitu iman dan amal soleh. Antaranya telah disebut dalam firman Allah s.w.t. surah An-Nisaa ayat 124 yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.”

Allah s.w.t. telah mengiktiraf kelebihan fizikal kaum lelaki lantas meletakkan ke atas bahu mereka tanggungjawab untuk memastikan segala hak kemanusiaan wanita ini disempurnakan dengan sebaik mungkin. Sewajarnya, tugas menjadi pelindung kepada kaum wanita ini dilaksanakan dengan penuh kesungguhan dan keprihatinan oleh golongan Adam bagi menyahut seruan Allah s.w.t. dalam surah An-Nisaa ayat 34 yang bermaksud:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka...”

Nabi Muhammad s.a.w. sendiri telah menegaskan perihal pentingnya kaum wanita dilayan dengan baik serta penuh lemah-lembut dan kasih sayang. Pesanan Rasulullah s.a.w. disabdakan dalam Khutbah Wida’ baginda yang disampaikan di Padang Arafah, pada tahun ke 10 Hijrah ketika mengerjakan Hujjatul Wada’:

“…Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah lemah dan pembantu kamu yang setia….”

Andai kita menyoroti seerah, maka kita akan mendapati bahawa kehidupan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. begitu sarat dengan kisah-kisah dan contoh-contoh bagaimana mereka meledani ahli keluarga mereka dengan begitu baik dan penuh kesabaran. Masing-masing berusaha bersungguh-sungguh agar tiada hak yang diabaikan dan tiada tanggungjawab yang dicuaikan. Kemuncaknya, maka wujudlah suasana damai dan bahagia dalam masyarakat yang hanya dapat dikecapi apabila setiap individu memenuhi tuntutan hak dan tanggungjawab atas dasar mencari keredhaan Allah s.w.t.


Wanita Dan Dakwah

Satu pesanan yang tidak patut dialpakan adalah perintah Allah s.w.t. dalam surah At-Tahrim ayat 6 yang mengarahkan para suami agar memastikan isteri-isteri dan ahli keluarga mereka terlindung dari siksaan azab di akhirat:

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarnya: Manusia dan batu (berhala)...”

Usaha memelihara ahli keluarga daripada api neraka ini sebenarnya tidak terbatas pada memastikan pelaksanaan ibadat-ibadat khusus sahaja.

Masyarakat kini sedang mengalami kemelut keruntuhan akhlak dan kemerosotan nilai kemanusiaan yang begitu meruncing. Tiada individu yang tidak terkena tempias dari kesan ledakan jahiliah moden yang sedang melanda umat. Lantaran itu, seluruh alam begitu mendambakan limpahan rahmat dari syariah Islam yang telah dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Lebih-lebih lagi dalam zaman ini yang ketiadaan khilafah Islam dan syariat Islam yang dipinggirkan, maka tuntutan dakwah menjadi keutamaan amalan untuk menyelamatkan diri dan ahli keluarga daripada kemusnahan di dunia dan siksaan balasan api neraka di akhirat. Justeru itu, setiap ketua keluarga perlulah menggerakkan sepenuh usaha untuk menyediakan sebaik mungkin prasarana dan suasana yang kondusif agar kesemua ahli keluarganya dapat menyempurnakan tuntutan dakwah ini.

Dakwah sentiasa didalangi oleh seribu satu macam cabaran dan ranjau berduri. Segala halangan dakwah hanya akan dapat diatasi dan dipenuhi sekiranya kaum Adam dan Hawa saling berganding bahu melaksanakannya seperti yang disebut dalam surah At-Taubah ayat 71 yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”


Bersegera Mengerjakan Kebajikan

Para suami harus sentiasa memberikan galakan dan sokongan yang berterusan kepada para isteri untuk terlibat dengan masyarakat. Kreativiti wanita dalam melaksanakan dakwah wajar dipupuk dan dikembangkan dengan memberi mereka ruang serta kebebasan meneroka potensi dalam diri mereka.

Tanggungjawab kaum wanita untuk melaksanakan tugas dakwah yang suci dan murni di luar rumah tidak seharusnya disekat. Mengapa perlu meletakkan syarat tertentu kepada para isteri apabila mereka ingin melangkah jauh ke dalam masyarakat? Mengapa tidak dijadikan penglibatan kaum wanita dalam mengislahkan masyarakat ini satu usaha yang melibatkan seluruh keluarga agar manfaatnya dirasai semua walaupun para isteri yang lebih ke hadapan dalam dakwah berbanding suami?

Ummu Muhammad, Rasha, isteri kepada pemimpin HAMAS Al-marhum Abdul Aziz Rantisi, yang syahid dibunuh oleh Israel pada 24 April 2004, telah ditanya mengenai tanggungjawab wanita dalam Islam. Dengan penuh bersemangat, wanita gigih ini menegaskan bahawa muslimat tidak sepatutnya menumpukan seluruh kehidupan mereka semata-mata kepada suami dan anak-anak. Tanggungjawab di luar rumah mesti juga diberi penumpuan oleh kaum wanita kerana kemusnahan masyarakat yang berlaku di sekitar kita turut membawa kesan negatif kepada ahli keluarga dalam rumah juga. Tanpa teragak-agak beliau juga menambah bahawa setiap ahli keluarganya masing-masing berlumba-lumba berusaha untuk mencapai syahid sebagaimana yang telah dinikmati oleh suaminya.

Marilah kita meneladani wanita ini dan membebaskan diri kita dari ikatan dunia untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Tidak ragu-ragu lagi bahawa kita mesti menyahut seruan Allah s.w.t. sebagaimana dalam surah Al-Baqarah ayat 148 yang bermaksud:

”...oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Kaum muslimat harus menggarap segala peluang dan kesempatan yang wujud serta perlu bijak memanfaatkan semua bentuk prasarana dan teknologi untuk melangkah lebih jauh dalam dakwah. Begitu banyak ruang teknologi maya yang boleh diterokai bagi memastikan tiada wanita muslim yang tercicir dari arena dakwah. Sudah tiada alasan lagi untuk setiap wanita yang menganut ajaran Islam untuk tidak melaksanakan kewajipan berdakwah.

”Tepuk dada tanyalah iman”.


Penulis merupakan Timbalan Ketua Wanita JIM Selangor dan boleh dihubungi di wanitajim0@yahoo.com.

Friday, July 04, 2008

Umat kena keluar daripada kepompong rugi

Oleh Maznah Daud

CABARAN membabitkan aspek kehidupan serta sosial terus mendatangi masyarakat hari ini dan bagi menghadapi setiap ujian, umat Islam tidak harus menyerah kalah atau cepat berputus asa. Sebaliknya, yakin dengan janji Allah, berlindung dan meminta pertolongan-Nya. Oleh itu, daripada memikirkan cubaan demi cubaan yang datang, umat Islam perlu bangkit dan sedar akan tanggungjawab mereka dan pada masa sama mempersiapkan diri dengan melakukan perubahan demi mencapai kesejahteraan hidup.

Firman Allah yang bermaksud: “Tiadalah suatu daripada makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Dia yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus.” - (Surah Hud, ayat 56) Firman Allah lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya kekuasaan-Nya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada benda itu: Jadilah engkau. Maka jadilah ia.” - (Surah Yasin, ayat 82) Ilmu adalah satu daripada senjata yang mesti dimiliki setiap insan yang berakal dan waras. Tanpa ilmu seseorang tidak dapat memahami dan menggambarkan sesuatu dengan betul dan tepat. Kita sebagai Muslim sepatutnya lebih peka dan lebih ghairah mencari ilmu. Malah, wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi SAW adalah perintah cukup jelas supaya mencari ilmu.

Firman Allah yang bermaksud: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” - (Surah al-’Alaq, ayat 1-5) Seorang ulama salaf pernah berkata: “Allah merahmati seseorang yang mengenali zamannya, maka dia beristiqamah di atas jalan dipilihnya.”

Kini kita berdepan pelbagai pemikiran, teori dan ideologi dalam segenap bidang serta lapangan melalui bermacam media dan saluran. Mampukah kita menghadapi dan mendepani semua itu tanpa ilmu? Umat Islam juga perlu menyuburkan perasaan bertanggungjawab.

Lihat bagaimana sikap Abu Bakr as-Siddiq ketika beberapa kabilah Arab enggan membayar zakat. Beliau berdiri teguh menentang golongan itu sambil memberitahu ungkapan yang begitu mengesankan: “Sesungguhnya wahyu sudah dihentikan dan agama sudah disempurnakan. Apakah agama ini mahu dirombak tatkala saya masih hidup?”

Begitu juga dengan Salahuddin al-Ayubi. Beliau seorang yang sangat kuat berpegang kepada sunnah Rasulullah SAW. Namun selepas membaca doa menaiki kenderaan beliau tidak senyum seperti dilakukan Baginda SAW. Apabila ditanya kenapa beliau tidak berbuat demikian, Salahuddin menjawab: “Bagaimana aku hendak ketawa sedangkan al-Aqsa kini berada dalam tawanan?”

Sesungguhnya perasaan bertanggungjawab beginilah yang membangkitkan cita-cita tinggi, keazaman kental dan semangat tidak kunjung padam untuk meneruskan jihad pada jalan Allah.


Fikiran positif mendorong kita sentiasa mencari yang terbaik demi kebaikan Islam dan umatnya. Ketika peperangan Badar, Rasulullah SAW menempatkan tentera Islam di suatu tempat yang pada pandangan Habbab bin al-Munzir kurang sesuai.

Dengan sopan beliau bertanya Baginda SAW: “Ya Rasulullah, adakah tempat ini adalah wahyu yang diperintah oleh Allah dan kita tidak boleh berganjak lagi darinya? Atau ini satu strategi dan taktik dalam peperangan? Rasulullah SAW menjawab: Ini hanyalah satu strategi dan taktik dalam peperangan. Mendengar jawapan itu Habbab tidak teragak-agak mengemukakan cadangannya yang bernas supaya beralih ke tempat lebih sesuai.

Cadangan itu diterima Baginda SAW dan ternyata ia menjadi pelengkap kepada sebab kemenangan yang dijanjikan. Melihat ramainya pembaca dan al-Hafiz al-Quran syahid dalam peperangan al-Yamamah menentang Musailamah al-Kazzab, Umar bin al-Khattab mengemukakan cadangan kepada Khalifah Abu Bakr as-Siddiq supaya mengumpul dan membukukan al-Quran. Beliau tidak putus-putus menyatakan kepentingan usaha itu dilakukan secepat mungkin. Akhirnya Allah melapangkan hati khalifah untuk menerima dan melaksanakan cadangan yang benar-benar bermakna dalam menyelamatkan kesucian dan kemurnian agama ini

Luasnya sasaran Islam meliputi bumi, tingginya melangkaui angkasa dan menyeluruhnya merangkumi semua manusia.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu, melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” - (Surah al-Anbiya’, ayat 107) Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutusmu melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira, dan pemberi amaran; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” - (Surah Saba’, ayat 28)

Sehubungan itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Aku diutuskan kepada setiap golongan, yang berkulit merah dan berkulit kuning.” Kita mesti bijak bergaul dengan masyarakat tidak kira bangsa, anutan, fahaman, aliran dan kecenderungan. Semua kita mesti keluar daripada kepompong masing-masing dan runtuhkan tembok malu yang tidak menguntungkan. Hiduplah bersama masyarakat.

Bergaul dengan mereka, pengaruhi mereka, pimpin mereka dan ubah peta kehidupan mereka. Sesungguhnya mereka mengharap kepimpinan kamu dan menanti kehadiran kamu. Semoga Allah memimpin kita semua dengan hidayah-Nya. Sesungguhnya Dia adalah sebaik-baik Pemimpin dan Pelindung.

Penulis adalah Penasihat Syariah dan boleh dihubungi di e-mel wanitajim0@yahoo.com.

Friday, June 13, 2008

Ibu bapa penentu kecemerlangan

Oleh Norhayati Sidek

SYIKIN, anak bongsu daripada adik beradik yang ramai tinggal bersama ayahnya selepas bercerai dengan ibu mereka ketika berusia enam bulan. Tidak seperti ibu mereka, ayah memilih untuk kekal membujang, membanting tulang saban hari sehingga ke usia tua bagi menyara kehidupan keluarga disebabkan tiada pendidikan tinggi. Ini dilakukan semata-mata bagi menjaga keharmonian kehidupan mereka sekeluarga. Syikin sekeluarga dibesarkan tanpa ibu dan tidak mengerti apa itu kasih sayang seorang ibu. Hanya kakaknya menggantikan tempat ibu bagi memberikan belaian kasih sayang. Sudah tentunya anak adalah permata hati yang sentiasa bertakhta di sanubari ayah. Ayah memastikan anaknya memperoleh pengajian akademik setinggi mungkin dan didikan Islam yang sempurna walaupun dalam keadaan dihimpit kesusahan.

Sebagai seorang yang berprinsip, perlakuan serta pergaulan anak dipantau sebaik-baiknya supaya tidak tersasar daripada landasan ditetapkan agama. Di samping itu, dia tidak melarang mereka menghubungi ibu tanpa dibatasi waktu. Ayah mana yang tidak terhibur melihatkan anak membesar dan mampu berdikari. Beberapa anaknya sudah pun mendirikan rumah tangga. Seorang kakak Syikin bakal menamatkan pengajiannya tidak lama lagi di universiti tempatan. Pengorbanan dan semangat membara ayah menjadi kekuatan Syikin adik beradik bagi terus menjalani kehidupan. Pada Syikin, sengaja melakukan kesilapan bererti menghancurkan hati ayah kerana dia adalah segala-galanya. Mereka ibaratkan ayah seperti pelita, akur dengan ketentuan Ilahi demi menerangi kehidupan orang lain.

Kisah Syikin adalah secebis kepincangan keluarga tanpa ibu yang wujud dalam jalur masyarakat Malaysia. Namun, kasih sayang tanpa syarat dan pengorbanan seorang bapa menutup kepincangan, mencetuskan keinsafan di hati anak, malah melahirkan anak yang cemerlang. Masyarakat kita bertuah kerana masih ada sebilangan bapa seperti ayah Syikin ini. Namun bapa seperti ini tidak ramai.

Ibu bapa bagaikan nadi sesebuah kehidupan dan tonggak kepada kecemerlangan keluarga. Merekalah yang mencorak kehidupan individu seterusnya menentukan maju mundurnya sesebuah komuniti. Peranan mereka amat penting dalam pendidikan keluarga sehingga dinobatkan status tertinggi selepas Tuhan yang menciptakan alam semesta.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa...” (Surah An-Nisa’, ayat 36) Tanpa sang suria dan rambulan maka tiadalah siang dan malam. Tanpa ibu dan ayah, tiadalah manusia untuk mewarisi urusan alam ini. Islam mengajar supaya sentiasa berbuat baik terhadap kedua-dua ibu bapa. Kita tidak seharusnya menetapkan sesuatu peristiwa penting atau detik sejarah penganut agama lain dijadikan sebab bagi memperingati kebaikan ibu dan bapa. Kita juga tidak memerlukan suatu hari yang khusus meraikan jasa mereka. Islam sudah membuka peluang keemasan di setiap detik bagi berbakti kepada kedua-dua orang tua.
Tidaklah keterlaluan jika dikatakan setiap hari adalah sambutan hari ibu dan hari bapa bagi setiap Muslim.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusuinya selama dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu, hanya kepada-Ku lah kembalimu.” (Surah Luqman, ayat 14).

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Dan Tuhanmu memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara kedua-duanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam peliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada kedua-duanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah, ‘Wahai Tuhanku, kasihilah mereka berdua, seperti mereka mendidik aku waktu kecil” (Surah Al-Isra’, ayat 23-24).

Diriwayatkan oleh Al-Bukhari, diceritakan bagaimana Nabi SAW mendahulukan berbakti kepada ibu bapa daripada kewajipan jihad. Aku bertanya: “Wahai Rasulullah, amal apakah yang lebih disukai Allah? Baginda menjawab: Sembahyang tepat pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda menjawab: Berbakti kepada kedua-dua ibu bapa. Aku bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda menjawab: Jihad di jalan Allah.”

Dalam panduan memilih kawan, Imam Jafar Sadiq menyatakan salah satu daripada sifat kawan yang mesti kita awasi ialah menjauhi mereka yang tidak menghormati kedua-dua orang tua. Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada mengurangi sedikit pun daripada pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.” (Surah At-Tur, ayat 21) Sabda Nabi SAW dalam sebuah hadis riwayat Muslim yang bermaksud: “Apabila anak Adam meninggal dunia, maka putuslah amalnya kecuali amal yang berasal dari tiga sumber, iaitu amal jariah, ilmu bermanfaat dan anak yang mendoakannya.”

Seperti Syikin, masih ramai lagi anggota masyarakat kita yang ditakdirkan untuk hidup tanpa ibu, tanpa bapa malah tanpa kedua dua buat selama-lamanya. Ada juga yang terpaksa tinggal berjauhan dengan ibu bapa, dipelihara oleh saudara mara. Tidak kurang juga mereka yang dipilih Allah bagi hidup bersama-sama keluarga beragama Islam dan tidak mengetahui kedua ibu bapa asal mereka hingga kini. Walau apapun keadaan kita, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Setiap perencanaan dan anugerah Allah mengandungi hikmah tersembunyi, bertujuan mendidik diri supaya mensyukuri nikmat-Nya. Kita seharusnya bersyukur dan bijak menggunakan kesempatan yang ada bagi menzahirkan ketaatan serta membalas budi baik mereka dengan pelbagai cara menurut kemampuan yang ada pada diri masing-masing.

Penulis ialah pensyarah di Institut Perguruan Ipoh, Perak dan AJK Wanita JIM Perak yang boleh dihubungi menerusi e-mel: wanitajim0@yahoo.com

Friday, June 06, 2008

Tujuh petunjuk kebahagiaan dunia

Oleh
Prof Madya Pauziah Mohd Arshad
Perkahwinan harmoni dikecapi menerusi kesungguhan pasangan tingkat ilmu rumah tangga


PERKAHWINAN adalah satu ikatan suci antara dua insan bergelar suami isteri. Pasangan suami isteri ini berkemungkinan berasal daripada latar belakang keluarga berbeza suasana persekitaran, pendidikan serta pendekatan ketika masih kecil hingga dewasa. Selepas tiba masanya, mereka mengikat janji setia mendirikan mahligai kehidupan, bersetuju untuk diakad nikah dan mengharapkan mahligai kasih serta keluarga dibina sentiasa sejahtera dunia akhirat.

Firman Allah bermaksud: "Dan di antara tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya antara kamu rasa kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda bagi kaum berfikir." (Surah ar-Rum, ayat 21).

Namun, dalam melayari kehidupan berkeluarga, kesejahteraan diharapkan tidaklah semudah seperti diidamkan. Perhubungan yang sepatutnya intim mungkin kadang-kala menjadi dingin, hambar atau tegang. Hal sedemikian boleh berlaku. Justeru, suami isteri juga insan biasa yang pasti melakukan kesilapan dalam melayari bahtera kehidupan berkeluarga. Ia perlu ditangani dengan baik kedua-dua pihak, dengan sifat murni seperti sikap keterbukaan dan berlapang dada.

Suami isteri perlu sedar hakikat kehidupan berkeluarga sebenar dan berusaha mencari ilmu serta menimba pengalaman seni hidup berumah tangga lantaran masing-masing mempunyai harapan, keperluan dan kehendak bersendirian. Ini mencetuskan perbezaan pandangan dan haluan yang hakikatnya anugerah semula jadi pemberian Ilahi kepada setiap pasangan.

Perbezaan juga boleh lengkap-melengkapi, sokong-menyokong dan bantu-membantu dalam pembentukan mahligai kasih diinginkan. Justeru, setiap pasangan berkewajipan berusaha menimba ilmu melalui pembacaan, menghadiri kursus mahupun perbincangan dengan kaunselor kekeluargaan. Ia penting demi keharmonian seluruh ahli keluarga. Allah berfirman bermaksud: "Dan orang yang berkata: Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami, isteri dan keturunan sebagai penyenang hati (kami) dan jadikanlah kami imam bagi orang yang bertakwa." (Surah al-Furqan, ayat 74)

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baik kamu ialah mereka yang berbuat baik kepada ahli (keluarganya) dan aku dikalangan kamu adalah orang yang paling baik dengan ahliku." (Hadis riwayat Ibn Majah).

Selepas berusaha membina mahligai kasih, kita boleh berasa dan melihat hasilnya dengan mengecap kebahagiaan di dunia berdasarkan kayu ukur Islam yang diungkapkan Ibnu Abbas.

Suatu hari Ibnu Abbas ditanya Tabi'in apa yang dimaksudkan kebahagiaan dunia.

Jawab Ibnu Abbas ada tujuh kayu ukur atau petunjuk kebahagiaan dunia iaitu:

1- Hati yang selalu bersyukur - Memiliki jiwa yang menerima seadanya tanpa angan-angan kosong tidak berpijak di alam nyata, tidak ada tekanan. Inilah nikmat bagi hati yang selalu bersyukur. Seorang yang pandai bersyukur sangat memahami sifat Allah SWT. Apa saja diberikan Allah kepadanya, ia terasa sungguh terhutang budi, berterima kasih, terpesona dengan pemberian dan keputusan Allah. Apabila berhadapan kesulitan, terus mengingati sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jika kita sedang susah perhatikanlah orang yang lebih susah daripada kita. Apabila diberi kemudahan, ia bersyukur dengan menggandakan amal ibadahnya, kemudian Allah akan mengujinya dengan kemudahan lebih besar lagi. Bila ia tetap istiqamah dengan terus bersyukur, maka Allah akan mengujinya lagi dengan kemudahan yang lebih besar lagi."

2- Pasangan hidup yang salih - Pasangan hidup yang salih akan menciptakan suasana rumah dan keluarga harmoni serta aman damai. Berbahagialah menjadi seorang isteri kepada suami yang salih dan berusaha membawa isteri serta anak mencari keredaan Allah. Demikian pula seorang isteri yang salih, akan memiliki kesabaran dan keikhlasan luar biasa dalam melayani suaminya. Maka berbahagialah menjadi seorang suami yang memiliki isteri salih.

3- Anak yang salih - Satu ketika Rasulullah SAW sedang bertawaf bertemu dengan seorang pemuda yang melecet bahunya. Selepas selesai tawaf Rasulullah SAW bertanya kepada pemuda itu: "Kenapa bahumu itu? Jawab pemuda itu: Ya Rasulullah, saya dari Yaman, saya mempunyai seorang ibu yang sudah uzur. Saya sangat mencintai dia dan saya tidak pernah melepaskan dia. Saya melepaskan ibu saya hanya ketika buang hajat, solat, atau berehat. Selain itu selalu mendukungnya (dibahu). Lalu anak muda itu bertanya: Ya Rasulullah, apakah aku sudah termasuk ke dalam orang yang sudah berbakti kepada orang tua? Nabi SAW sambil memeluk anak muda itu dan mengatakan: Sungguh Allah reda kepadamu, kamu anak salih, anak yang berbakti. Tetapi anakku ketahuilah, kamu tidak akan mampu membalas cinta orang tuamu."

4-Lingkungan kondusif untuk iman kita - Yang dimaksudkan lingkungan yang kondusif ialah suasana keliling dan sahabat rapat memberi nilai tambah terhadap keimanan kita. Rasulullah SAW menganjurkan kita selalu bergaul dengan orang salih yang mengajak kepada kebaikan dan mengingatkan kita apabila berbuat salah. Orang salih adalah orang yang bahagia kerana nikmat iman dan Islam selalu terpancar pada cahaya wajahnya. Insya-Allah cahaya itu akan ikut menyinari orang di sekitarnya.

5-Harta yang halal - Riwayat Imam Muslim dalam bab sedekah, Rasulullah SAW pernah bertemu dengan seorang sahabat yang berdoa mengangkat tangan. "Kamu berdoa sudah bagus," kata Nabi SAW, Namun sayang makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggalnya didapatkan secara haram, bagaimana doamu akan dikabulkan." Berbahagialah menjadi orang yang hartanya halal kerana doanya sangat mudah dikabulkan Allah. Harta yang halal juga akan menjauhkan syaitan dari hatinya, maka hatinya semakin bersih, suci dan kukuh hingga memberi ketenangan dalam hidupnya.

6-Semangat untuk memahami agama - Allah menjanjikan nikmat bagi umat-Nya yang menuntut ilmu, semakin ia belajar semakin cinta ia kepada agamanya, semakin tinggi cintanya kepada Allah dan Rasul-Nya. Cinta inilah yang akan memberi cahaya bagi hatinya.

7- Umur yang berkat - Umur yang berkat ertinya umur yang semakin tua semakin salih, setiap detik diisi dengan amal ibadah. Seseorang yang mengisi hidupnya untuk kebahagiaan dunia semata, maka hari tuanya akan diisi dengan banyak bernostalgia mengenai masa mudanya. Orang yang mengisi umurnya dengan banyak mempersiapkan diri untuk akhirat (melalui amal ibadah), maka semakin tua semakin rindu ia untuk bertemu dengan Penciptanya. Tidak ada rasa takut meninggalkan dunia ini, bahkan ia penuh harap untuk segera berasakan keindahan alam kehidupan berikutnya seperti dijanjikan Allah.

Prof Madya Pauziah Mohd Arshad ialah Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM dan AJK Wanita JIM Selangor yang boleh dihubungi di e-mel: wanitajim0@yahoo.com

Friday, May 30, 2008

Ajal tidak mengenal usia tua, muda

Oleh Zulkifli Khair

SEKEPING gambar menunjukkan sepasang suami isteri menangisi kematian anak perempuan berusia enam tahun. Pandangan berlatar belakangkan runtuhan bangunan sungguh menyayat hati. Si bapa kelihatan meriba anak yang terkulai layu tidak bernyawa, manakala riak wajah si ibu jelas berduka. Tiada siapa dapat menyangka, tragedi gempa bumi di China baru-baru ini meragut lebih 51,000 nyawa. Kedua-dua ibu bapa itu tentu sekali tidak pernah terfikir menyangka anak kecilnya pergi dulu berbanding mereka. Maut ternyata tidak mengenal usia, tua atau muda.

Ibu bapa tiada sebarang kuasa untuk merayu malaikat Izrael daripada mencabut nyawa anak kecil mereka termasuk yang masih berada dalam rahim. Kelahiran adalah suatu anugerah begitu juga kematian suatu anugerah. Namun, fenomena alam itu tidak serupa dalam pandangan dan perasaan manusia. Dalam sesebuah keluarga, kelahiran disambut dengan penuh keceriaan. Sebaliknya, kematian ditangisi dalam suasana penuh kesedihan. Nabi Muhammad sendiri pernah mengalami keadaan sedih ini. Kematian anak kecilnya, Ibrahim misalnya disambut dengan penuh kedukaan seluruh ahli keluarga, malah nabi sendiri menitiskan air mata. Hal ini menunjukkan bahawa tiada salahnya menangis di atas pemergian si kecil, yang terlarang adalah meratap dan terpekik terlolong seperti sebahagian daripada orang bukan Islam.

Selain itu, kematian semua anak lelaki (tanpa meninggalkan seorang pun zuriat lelaki) tidak menjadikan nabi bergelut dengan masalah kemurungan dan duka nestapa yang berpanjangan sebaliknya diterima dengan tulus pasrah, di samping sedikit pun tidak menjejaskan tanggungjawab beliau dalam membangunkan umat dan negara.

Kisah Malik bin Dinar al-Sami (meninggal dunia pada 130H/748M) menarik untuk diimbau.

Diringkaskan cerita, ketika zaman berpoya-poya dan kaki minum, Malik mengimpikan seorang anak perempuan. Sebabnya, dia mendapat khabar, sesiapa yang mengasihi anak perempuan akan dapat masuk syurga. Maka dengan izin Allah, Malik pun dikurniakan Allah akan seorang anak perempuan. Menurut beliau, “Ketika dia mula pandai berjalan, maka cintaku bertambah padanya. Setiap kali aku meletakkan minuman keras di hadapan, anak itu datang kepadaku dan mengambilnya lalu menuangkannya ke bajuku.


“Setiap kali aku hendak minum arak, tangan anakku selalu menepis tanganku, seolah-olah dia melarang aku daripada meminumnya.” Malik sungguh menyayangi anak kecil itu, namun ketika berumur dua tahun, anak yang bernama Fatimah itu meninggal dunia. Sedihnya si bapa bukan kepalang.

Pada suatu malam Jumaat, pada Syaaban, Malik meneguk arak lalu tertidur sebelum solat Isyak. Dalam tidur dia bermimpi seolah-olah berada dalam Hari Kebangkitan. “Aku mendengar sesuatu yang bergerak di belakang, ketika aku menoleh ke arahnya kulihat seekor ular yang sangat besar berwarna hitam kebiru-biruan sambil membuka mulut bergerak ke arahku.” Malik lari sekuat hati. Di tengah jalan, beliau temui seorang lelaki tua dengan pakaian serba putih bersama haruman semerbak mewangi. “Wahai orang tua, tolonglah selamatkan aku daripada ular itu,” rayu Malik. Sambil menangis, orang tua itu menjawab, “Aku begitu lemah sedangkan ular itu lebih kuat daripada aku. Aku tak mampu melawannya. Kau lari sajalah, mudah-mudahan Allah menyelamatkan engkau.”

Malik bergegas berlari lagi dan akhirnya sampailah ke pinggir neraka - keadaan sungguh kritikal, di depan neraka, di belakang pula ada ular besar dengan keadaan mulut luas ternganga! Tiba-tiba kedengaran suara, “Tempat kamu bukan di sana (neraka).” Malik beredar dan berjumpa lelaki tua tadi. Malik diminta cuba pergi ke gunung Amanah.

“Aku pun menuju ke tempat itu. Di sana aku bertemu dengan seorang anak kecil berwajah sangat indah,” jelas Malik. Tanpa diduga, anak itu adalah anak beliau sendiri, Fatimah! Anak kecil itu pun mengusir ular besar. Kemudian mengusap janggut bapanya lalu membacakan sebahagian daripada surah al-Hadid, ayat ke-16. Ayat Allah bermaksud: “Belumkah datang waktunya bagi orang beriman untuk tunduk hati mereka mengingati Allah.” Ia boleh juga dinisbahkan kepada: Apakah belum sampai seru untuk beramal soleh? Tanya Malik kepada Fatimah berserta anak kecil lain, “Apakah yang kalian buat di gunung itu?” Jawab si anak kecil, “Kami adalah anak muslimin yang akan berada di sini sampailah kiamat, menunggu kalian datang kepada kami.” Selepas terjaga daripada tidur, Malik pun bertaubat, lalu menjadi seorang yang terkenal salih dan warak di sisi Tuhan.

Lelaki tua adalah gambaran amal salih, manakala ular adalah gambaran amal buruk atau dosa.

Moga Allah anugerahkan kesabaran dan ketabahan buat mana-mana ibu bapa yang kematian si kecil dengan apapun puncanya. Bukankah anak kecil itu milik Allah juga? Dia Maha Menghidupkan dan Maha Mematikan. Menyalahkan Tuhan untuk sesuatu kematian hanyalah suatu dosa besar, cepu rasa hamba derhaka. Tiada nas yang jelas mengenai syafaat anak kecil kepada ibu bapa (mimpi seperti di atas tetap lebih rendah darjatnya berbanding ayat al-Quran dan al-Hadis). Pertemuan semula antara ibu bapa dengan anak kecil yang mati dulu adalah suatu yang pasti dengan syarat ibu bapa tergolong dalam golongan beriman.

Hal ini diterangkan dalam nas bermaksud berikut: “Dan orang beriman, dan anak cucu yang mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tidak mengurangi sedikit pun daripada pahala amal mereka. Setiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.” (At-Tur : 21) Kematian si kecil hakikatnya adalah suatu isyarat yang amat kuat bahawa kematian tidak mengenal usia. Yang kecil dan mentah muda tidak semestinya dilewatkan kematian, manakala yang tua dan lanjut usia pasti terlebih dulu menemui ajal. Mengingati kematian adalah satu sunnah, agar lebih bijak menguruskan kehidupan kini demi kehidupan lestari akan datang.

Penulis adalah jurulatih dan penulis bebas dan boleh dihubungi di e-mel wanitajim0@yahoo.com.

Friday, May 23, 2008

Anugerah memimpin berdosa jika dipersia

Oleh Normah Abdul Aziz

PILIHAN Raya Umum ke-12 dan tarikh 8 Mac 2008 masih segar dalam ingatan rakyat Malaysia. Tarikh itu membawa banyak perubahan kepada sebilangan orang. Misalnya dulu dikenali sebagai pemimpin, kini tidak lagi dan yang dulunya rakyat biasa kini adalah pemimpin sebagai wakil rakyat. Hakikatnya, gelaran yang dianugerahkan tidak datang dengan tangan kosong sebaliknya berserta tanggungjawab. Sewajarnya, bagi yang dikurniakan jawatan dengan tanggungjawab itu mensyukuri anugerah Allah. Tanda gembira dan bersyukur dengan kemenangan hasil undian rakyat yang memberi kepercayaan ialah mengucapkan terima kasih serta melakukan sujud syukur kepada Yang Esa.

Tumpuan kini ialah memenuhi janji diberi serta membuktikan bahawa anda adalah orang yang selayaknya menjawat jawatan itu kerana memang bersungguh-sungguh bersama pemimpin lain membangunkan agama, bangsa dan negara. Sememangnya semua Muslim mempunyai tanggungjawab dan amanah daripada Allah, tetapi sebagai orang yang berusaha mendapat gelaran pemimpin sudah tentu tuntutan itu lebih berat untuk menunaikan amanah rakyat. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah itu memerintahkan kepada engkau semua supaya engkau semua menunaikan amanah kepada ahlinya.” - (Surah an-Nisa’, ayat 58)

Akibat daripada tidak menjaga amanah sudah diingatkan Rasulullah SAW dalam hadis daripada Abu Maryam Al Azdi, beliau berkata kepada seorang khalifah Muawiyah: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa yang diserah oleh Allah akan sesuatu kekuasaan daripada beberapa urusan pemerintahan kaum Muslimin, kemudian orang itu menutup diri, tidak memperhatikan perihal hajat, kepentingan atau kefakiran orang yang di bawah kekuasaannya, maka Allah juga akan menutup diri iaitu tidak memperhatikan perihal hajat, kepentingan atau kefakirannya sendiri pada hari kiamat.” Rasulullah SAW mengingatkan Abu Dzar Al-Ghifiri dengan sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya kepemimpinan itu adalah suatu amanah, pada hari kiamat ia adalah kehinaan dan penyesalan kecuali bagi mereka yang menunaikan amanahnya dengan sempurna seperti yang dipertanggungjawabkan.”

Itu antara beberapa pesanan supaya amanah dijaga dan dilaksanakan dengan baik. Ia adalah amanah yang seandainya tidak ditunaikan akan menjadi penyesalan di akhirat kelak. Sebaliknya jika kepemimpinan itu dijaga dengan baik, maka ia akan benar-benar menjadi anugerah. Anugerah yang harganya terlalu besar, boleh dinikmati kesannya daripada kehidupan di dunia hingga akhirat.

Daripada ’Auf bin Malik, katanya: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pemimpin pilihan di antara engkau ialah orang yang engkau mencintai mereka dan mereka pun mencintai kamu semua, juga yang engkau mendoakan kebajikan untuk mereka dan mereka mendoakan kebaikan untuk kamu semua.” Hadis lain pula menegaskan bahawa kepemimpinan itu satu daripada faktor yang menggolongkan seorang individu itu layak mendiami syurga.


Daripada ’Iyadh bin Himar katanya: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ahli syurga itu ada tiga macam, iaitu orang yang mempunyai kekuasaan pemerintahan yang berlaku adil dan dikurnia taufik iaitu pertolongan oleh Allah untuk melaksanakan perintahnya dan menjauhi larangannya, juga seorang yang berhati kasih sayang, lemah lembut kepada semua kerabatnya dan juga kepada sesama muslimnya, dan pula seorang
yang menahan diri daripada meminta-minta dan berusaha untuk tidak meminta-minta, sedangkan ia mempunyai keluarga yang banyak dan dalam keadaan miskin.”

Hadis ini menjelaskan bahawa pemimpin yang melaksanakan tugas kepimpinannya dengan baik maka menjadikan dirinya calon yang layak memasuki syurga Allah. Oleh itu sesungguhnya kepimpinan itu diiringi tanggungjawab besar membawa amanah yang sudah disanggupi. Jika amanah itu dilaksanakan dengan baik maka ia menjadi anugerah manakala jika tidak dijaga dan diabaikan, maka ia akan menjadi penyesalan dan kehinaan.

Penulis ialah seorang guru dan ahli wanita JIM Kuala Lumpur yang boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

Friday, May 16, 2008

Sikap positif dorong umat fahami fitrah

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

wanitajim0@yahoo.com

AHLI tafsir terkemuka, Imam Ar Razi, ketika menafsirkan ayat ‘Al-Rahman Al-Rahim’ (surah al-Fatihah) menyebutkan dua kisah sangat mengesankan dan menunjukkan betapa Allah Maha Pengasih dan Penyayang.

Satu kisah itu ialah pengalaman seorang salih dan ahli sufi bernama Ibrahim Adham. Pada suatu hari Ibrahim menjamu selera di rumah seorang ketua kaum. Ketua kaum itu menghormati beliau dengan menghidangkan makanan enak. Ketika Ibrahim hendak menyuap, tiba-tiba datang seekor burung gagak menyambar makanan itu. Ibrahim segera melihat bahawa pasti ada suatu pengajaran daripada tindakan aneh burung itu. Beliau segera bangkit dan berjalan mengikuti arah burung itu terbang.

Ibrahim ternampak gagak itu menjatuhkan makanan ke suatu tempat. Ibrahim mendekati arah jatuhnya makanan itu. Setibanya di tempat itu, Ibrahim menyaksikan seorang lelaki yang diikat dalam keadaan terlentang di bawah sebuah pohon rendang. Rupa-rupanya makanan yang dijatuhkan burung gagak terus masuk tepat ke mulut insan tidak berdaya itu. Ibrahim segera mengagungkan Allah, yang menyelamatkan hamba-Nya yang tidak berdaya. Secara logik akal, insan itu tidak akan hidup lama dalam keadaan terikat seorang diri di hutan namun, kerana kasih sayang Allah, Dia menghantar gagak untuk membantu insan malang itu.

Cerita Ibrahim ini menggambarkan kepada kita mengenai sikapnya yang melihat kebaikan di sebalik kejadian yang kelihatan buruk. Sering kali kita dengar pakar motivasi memberikan tip untuk mencapai kecemerlangan dan kebahagiaan. Antaranya, kita perlukan tiga perkara untuk mencapainya iaitu ilmu, kemahiran dan sikap. Daripada ketiga perkara ini, yang paling utama adalah sikap. Andai kata kita ingin menjadi sahabat yang cemerlang, hanya sikap menjadi penentu.

Kita mungkin menjadi seorang paling alim dan intelek di muka bumi, tetapi kita pastinya dibenci oleh lawan, mahupun kawan andai tidak mempunyai sikap yang baik. Sikap negatif seperti tidak prihatin, mulut celupar, panas baran sudah cukup membuatkan orang benci pada kita. Kajian oleh seorang profesor daripada Universiti Yale, membuktikan hal ini apabila didapati tujuh peratus kejayaan graduan dari Sekolah Perniagaan Harvard bergantung pada ilmu dan kemahiran sementara 93 peratus bergantung kepada sikap.

Sikap maksudnya cara kita melihat pada sesuatu. Kita dapat apa yang kita lihat. Contoh, apabila kita melawat pantai yang memutih, ada tiga cara (mungkin lebih) melihat pantai itu. Sebagai pelancong kita melihatnya sebagai tempat untuk merehatkan minda dan bersantai. Maka kerehatan yang bakal kita peroleh. Sebagai penangkap ketam, kita ke sana untuk menangkap ketam. Maka ketam akan kita dapat. Sebagai usahawan, kita mencari ruang niaga yang sesuai dan menguntungkan. Maka memang kemungkinan besar, itulah yang akan kita peroleh. Seruan untuk membetulkan cara melihat atau sudut pandangan, bukanlah semata-mata seruan daripada pakar motivasi saja.

Seruan itu juga adalah seruan Ilahi dalam al-Quran. Berapa banyak ayat yang seolah-oleh bertanya kepada manusia, “Tidakkah kamu melihat?” dan kritikan buat manusia yang membutakan diri, “Apakah kamu tidak melihat?” Ada pelbagai cara untuk memandang, iaitu pandangan mata, akal, nafsu dan mata hati. Cara paling baik untuk menentukan sikap ialah dengan pandangan mata hati, pandangan digandingi dengan aktiviti berfikir untuk menghasilkan yang terbaik bagi semua pihak.

Contoh, kita ingin mengambil kaedah digunakan seorang ulama, Abd Majid Aziz Az-Zindani dalam bukunya, Kitab Tauhid ketika membicarakan perihal ayat dalam al-Quran yang bermaksud: “Maka hendaklah manusia itu memperhatikan makanannya.” (Surah Abasa, ayat 24).

Menurut beliau, daripada makanan beliau boleh melihat sembilan sifat Allah padanya antaranya Maha Pemberi Rezeki. Apakah nilai pada sepinggan nasi berharga RM5 jika kita tidak fikirkan berapa orang terbabit untuk menyediakan sepinggan nasi. Jika kita kaji proses terhasilnya nasi daripada beras, menjurus kepada padi di sawah, kita dapat merasai kasih sayang Allah yang memberikan rezeki. Daripada contoh kita fahami fitrah manusia memerlukan kepada masyarakat sama ada dia mahu atau tidak, suka atau tidak. Dalam kehidupan sehari, sedar atau tidak kita sentiasa mendapat pertolongan Allah terutama saat berada dalam keadaan genting dan sangat terdesak.

Kita sering dimanjakan dengan kasih sayang-Nya. Namun, kita selalu melupakannya. Malah, kadangkala kita sering menganggap bahawa kecemerlangan dicapai kerana kehebatan kita. Akibatnya kita acap kali menjadi sombong dan bangga kerananya. Kita ambil mudah banyak perkara dan melanggar hukum-Nya, dengan pelbagai alasan yang kita reka sendiri. Walhal sebenarnya nikmat itu hanyalah kurniaan Allah.

Penulis ialah AJK Wanita JIM Pusat dan boleh dihubungi di e-mel wanitajim0@yahoo.com